Oleh Mohd Martin Kahar
KUALA LUMPUR : Peguam N Surendran berkata, saman fitnah Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin terhadap Senator Dr Syed Husin Ali berhubung buku ‘Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali’ tidak berasas.
Menurutnya, kenyataan Syed Husin berkenaan tindakan Zulkifli yang bersekongkol dengan Umno BN untuk membuat tohmahan terhadap KEADILAN dan Ketua Umumnya seperti yang terkandung dalam memoir tersebut adalah bersandarkan fakta sebenar.
“Kita melihat saman ini hanyalah serangan balas daripada Zulkifli terhadap saman malu yang difailkan oleh Syed Husin sebelum ini. Apa yang disebut oleh Syed Husin dalam bukunya adalah benar.
“Saman ini tidak mempunyai merit dan saya yakin ia akan ditolak oleh mahkamah,” katanya sambil menegaskan anak guamnya tidak gentar untuk bertemu Zulkifli di mahkamah.
Zulkifli memfailkan saman fitnah terhadap Syed Husin pada 24 Ogos lalu. Writ saman difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.
Dalam tuntutan itu, Zulkifli mendakwa Syed Husin berniat jahat menerbit dan mengakibatkan penerbitan perkataan-perkataan bersifat fitnah terhadapnya.
Beliau mendakwa, perkataan itu dalam makna semulajadinya membawa maksud beliau telah menawarkan kepada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan/atau Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sekitar April 2008, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-12, untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bagi membolehkan Ketua Pembangkang tersebut bertanding dalam pilihan raya kecil.
Zulkifli menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya terus menerbitkan perkataan fitnah tersebut, selain faedah dan kos.
Mahkamah akan mendengar saman itu pada esok.
Pada 27 Januari lepas, Syed Husin, 76, bekas Timbalan Presiden KEADILAN, memfailkan saman bernilai RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Zulkifli berhubung satu artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 November tahun lepas, berjudul ‘Zul Nordin Nafi Dakwaan Syed Husin’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan