Oleh : Daing Yahya
Baru-baru ini gegak gempitalah UMNO BN tentang isu cadangan anti lompat parti. Cadangan ini dikemukan oleh DAP, dan menurut cadangan itu ia ingin dilaksanakan di Pulau Pinang jika undang-undang tersebut diluluskan.
Suara-suara bantahan tentang cadangan ini mula berkumandang, katanya hal ini akan melanggar hak kebebasan berpersatuan, melanggar etika berpersatuan malah sesetengah itu cuba menggunakan kembali episod 16 september sebagai ‘back fire’ kembali kepada Pakatan Rakyat.
Sebagai parti yang meraikan semangat demokrasi dalam maksud menerima perbezaan pendapat dan kebebasan menyuarakan pandangan, DAP mengalu-alukan semua hujah yang menyokong dan yang ingin menentang cadangan ini. Dan perdebatan ini seharusnya sihat kerana isu ini isu yang melibatkan kepentingan umum.
Katanya lagi, DAP anti lompat parti tetapi tak segan nak terima ahli UMNO atau MCA, MIC untuk masuk DAP. Lucu juga hujah ini, barangkali mereka tidak habis membaca draf cadangan undang-undang anti lompat parti.
Hak peribadi atau amanah
Secara umumnya, jika si polan bin si polan yang nak melompat atau ‘berhijrah’ dari satu parti kepada parti mana pun, terpulanglah kepada empunya diri si polan itu asalkan parti yang ingin dilompatinya itu boleh menerimanya.
Kedua, jika si polan bin si polan itu dijemput untuk menyertai parti yang menjemput itu, maka itu juga terpulanglah kepada si polan itu untuk menerima atau menolaknya. Ini perayaan demokrasi, semua orang kena faham dan terima. Malah ia tidak menjejaskan langsung parti, penyokong atau rakyat. Ini memang hak dan kebebasan individu untuk memilih apa yang mereka mahu. Habis cerita.
Tetapi, isu sebenar tentang apa yang dicadangkan oleh DAP ini sangat jelas bagi mereka yang membacanya dengan teliti.
Yang dicadangkan ialah, mana-mana ahli politik yang telah menjadi Ahli Parlimen atau ADUN yakni yang telah dipilih oleh rakyat dalam sesebuah pilihanraya mestilah meletak jawatan Ahli Parlimen/ADUN terlebih dahulu jika mahu melompat parti. Bagi yang berakal waras pasti boleh memahami keterangan ini dengan jelas.
Maknanya, Ahli Parlimen atau ADUN yang nak lompat, boleh lompat, silakan. Tiada siapa nak halang tetapi jika nak lompat mestilah letak jawatan itu terdahulu, barulah adil sebab, kemenangan wakil rakyat itu adalah kemenangan parti, bukan kemenangan atas kapasiti individu.
Jika wakil rakyat itu dilantik oleh ahli keluarganya sahaja, maka lantaklah dia hendak melompat kemana pun dengan jawatannya itu, tiada siapa ambil peduli.
Tetapi, kes wakil rakyat yang lompat parti selepas dipilih oleh rakyat ini jelas adalah suatu kerja pecah amanah, dari segi etika politik, ini setaraf dengan kerja jenayah pecah amanah.
Rakyat undi mereka kerana mereka dicalonkan oleh parti, maka kemenangan itu adalah kemenangan parti yang disokong oleh rakyat, mana boleh lepas menang wakil rakyat senang-senang nak melompat parti.
Nuansa politik sempit dan terbuka
Episod 16 September juga sedikit berbeza. Hal ini kena fahami betul-betul nuansanya. Ya, memang Sdr. Anwar Ibrahim ada mempelawa wakil rakyat Barisan Nasional untuk menyeberang ke Pakatan Rakyat tetapi ini juga bukanlah suatu kesalahan kerana pelawaan itu juga adalah satu jemputan dan jemputan ini dibuat secara terang-terangan yakni rakyat tahu bahawa Anwar Ibrahim yang mengetuai PR telah pelawa Ahli Parlimen BN untuk masuk PR dan tubuhkan kerajaan baru.
Ini bukan kes jual beli wakil rakyat yang dilakukan secara senyap-senyap seperti yang telah terjadi di suatu ketika dahulu. Sebaliknya 16 September menjadi contoh yang baik apabila ruang demokrasi dimanfaatkan semaksimanya oleh parti politik selagi ia tidak menyalahi undang-undang.
Jika kembali kepada hujah dalam cadangan DAP untuk undang-undang anti-lompat parti di atas, kita fikir tiada yang bersalahan kerana amat jelas bahawa jika sekalipun lompat parti selepas dipilih menjadi wakil rakyat, pengecualian sememangnya wujud seperti kes 16 September.
Pengecualian ini barangkali berpandukan kepada dimensi demokrasi itu sendiri. Contoh terbaik adalah episod 16 September itu sendiri bila mana wujud pelawaan atau jemputan secara terang-terangan (rasmi) tanpa berselindung di mana semua rakyat tahu keadaan dan tahu atas tujuan dan sebab apa.
Contohnya, apabila wujud kes keputusan pilihanraya dengan ‘majoriti mudah’, maka BN atau PR boleh dan berhak mempelawa mana-mana pihak untuk bersatu demi menjadi lebih kuat dan seterusnya berupaya menubuhkan sebuah kerajaan baru yang lebih stabil. Sama sepertimana kes UMNO mahu menjemput PAS untuk bersengkongkol yang kononya atas perpaduan ummah, ia bukan perlanggaran undang-undang dan etika demokrasi.
Yang kita tolak ialah kes-kes beli wakil rakyat secara senyap-senyap. Ada setengah kes tu, diugutnya sesetengah wakil rakyat untuk melompat atau letak jawatan. Kerja seperti ini amat jelas melanggar undang-undang dan membelakangkan kuasa dan kehendak rakyat. Malah ia tak selari dengan semangat demokrasi dan Perlembagaan kita.
Katanya, BN tak suka undang-undang ini sebab kelak mereka susah nak beli MP atau ADUN PR demi menyelamatkan survival kuasa politik mereka, itu saja, bukan ada sebab lain. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan