Abd Shukur Harun, |
Fokuslah kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, bukan berbahas mengenai isu hudud, bukan juga isu Ustaz Nasharudin Mat Isa, justeru isu ini hanya dilontar oleh pemimpin Umno/BN dan media yang mereka kuasai untuk mendapat keuntungan politik Umno/BN.
Dalam kesempatan pulang ke kampung – Serkat, Tanjung Piai, Pontian dan meninjau sekali ke kawasan Dun Kukup dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai serta ke Dun Nusa Jaya dalam Parlimen Pulai – yang semuanya di Johor, saya mendapati mood rakyat di kawasan itu berpihak kepada Pakatan Rakyat, khususnya pengundi Cina.
Ini suatu perubahan yang belum pernah saya saksikan sebelum ini di mana, antara lain bendera PAS banyak tercacak di kiri kanan jalan, termasuk jalan kampung, sementara markas PAS kecil dan besar kelihatan ceria dan rancak.
Percakapan penduduk, termasuk generasi lama, yang ditemui di hari raya kelihatan kebanyakannya memihak kepada pembangkang dengan menyatakan keluh kesah kerana harga barang naik, belanja sara hidup begitu tinggi dan pelbagai masalah lagi.
Boleh disimpulkan bahawa kedudukan Pakatan Rakyat, khususnya di Johor, begitu baik. Kerana itu jentera PAS, DAP dan PKR perlu digandakan lagi, tidak kira sama ada lambat atau segera PRU Ke-13 itu diadakan.
Dalam keadaan Umno yang sangat cemas memikirkan kedudukannya, memang ada usaha keras untuk menimbulkan isu hudud, malah akan diperpanjang isu ini hingga diharapkan boleh ‘melemaskan’ PAS. Perangkap ini akan berterusan hingga menjelang PRU akan datang.
Dalam masa yang sama dan dalam hubungan yang sama, isu bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin Mat Isa yang kalah dengan Haji Mohamad Sabu dalam pemilihan di Muktamar Tahunan PAS, akan terus diperhangat Umno/BN, justeru mereka melihat isu ini akan melemahkan PAS.
Dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Ustaz Nasharudin mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud. Kenyataan ini menimbulkan kemarahan di kalangan PAS kerana beliau adalah Ahli Majlis Syura Ulama dan beliau masih lagi ahli PAS, sedangkan Tahalluf Siasi (pakatan PAS dengan parti pembangkang yang lain) adalah keputusan Majlis Syura Ulama dan juga keputusan tiga kali Muktamar Tahunan PAS.
Bagaimanapun dalam hal ini pendukung PAS mengharapkan isu ini dan isu Hudud tidak sampai ‘menghambat’ gerak kerja PAS/Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya akan datang ini.
Pendukung PAS di Johor sendiri - yang sedang bertungkus lumus – membuat persiapan pilihan raya akan datang menganggap dua isu ini tidak perlu diberi fokus berlebihan kerana fokas utama sekarang, menurut menurut mereka, ialah membuat persiapan serapi mungkin untuk mencapai kemenangan.
Memang kini musuh politik PAS memperhebat kempen, terutama di kawasan pedalaman, mengenai isu DAP ini yang di mana jika DAP dominan, maka kononnya tidak akan menguntungkan politik masa depan Melayu/Islam. Bagaimanapun, penyokong PAS tetap tegas menyokong Pakatan Rakyat dan terus mengadakan hubungan baik dengan DAP.
Memang ada kekhuatiran bahawa kempen perkauman itu akan juga mempengaruhi sesetengah pengundi Melayu khususnya di pedalaman, malah di sesetengah tempat di kawasan bandar juga. Memang diakui juga sukar dipadamkan isu hubungan PAS-DAP ini, tetapi dengan gerak kerja penerangan yang berkesan, isu ini boleh ditangani dengan berkesan.
Dalam masa yang sama, penerangan PAS/Pakatan Rakyat perlu mendedahkan lebih banyak mengenai isu rasuah, penyelewengan, pemborosan, ketirisan, salah guna kuasa, isu daftar pengundi yang masih kotor dan lain-lain. Ini isu dominan bagi Pakatan Rakyat.
Ada pertanyaan, apakah benar isu rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan lain-lain ini sukar mempengaruhi pengundi, khususnya pengundi luar bandar? Jawapannya ‘ya’ dan ‘tidak’. Di sesetengah tempat, walaupun di kampung-kampung isu ini boleh mempengaruhi pandangan pengundi di luar bandar. Ini bergantung kepada kebijaksanaan mereka yang mengupas isu itu.
Sementara di kawasan bandar dan semi bandar, tidak semestinya pula isu ini mudah diterima walaupun pengundi di kawasan ini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat. Ada beberapa sebab terjadi demikian, terutamanya sesetengah golongan generasi lama yang sentiasa terikat dengan metafora Melayu, ‘Mengenang Budi’, terkenang zaman Jepun dan zaman susah di kampung di masa lalu.
Golongan ini malas berfikir dan ‘terpengaruh’ dengan kemewahan yang mereka rasai, walau tidak seberapa dan pelbagai lagi.
Golongan ini mudah ditakut-takutkan dengan isu perkauman, kesusahan jika berlaku sesuatu dan pelbagai kebimbangan lagi. Pada hal ini semuanya itu hanya igauan di mana ‘faktor bimbang’ ini sentiasa diwar-warkan oleh pihak musuh politik Pakatan Rakyat yang bertujuan semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.
Saya pula ke negeri Johor beberapa hari yang lalu dan sempat mendengar juga sebanyak sedikit ‘kebimbangan’ ini dari rakyat di sana dan lebih bimbang lagi kononnya jika DAP memerintah. Saya menjelaskan bahawa DAP tidak boleh memerintah secara mutlak kerana ia hanya bertanding sedikit di kerusi Parlimen dan DUN.
Jika diizinkan Allah, Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang, kata saya, maka yang memerintah adalah gabungan parti dalam Pakatan Rakyat dan memerintah secara kolektif atau muafakat antara semua parti dalam Pakatan Rakyat. Ertinya semua keputusan dan dasar mesti dipersetujui bersama. Tidak ada parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat.
Di sinilah, pada pendapat saya, pendukung PAS – dari pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi - perlu menjelaskan sehelas-jelasnya kepada rakyat untuk menghapuskan kebimbangan ini.
Oleh itu isu hudud dan isu Ustaz Nasharudin Mat Isa tidak perlu menjadi fokus utama dan berlebihan. Dalam masa yang sama kekuatan jentera pilihan raya PAS perlu terus menerus diperkukuh.
Kesimpulannya, sudah kelihatan cahaya di hujung terowong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan