SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM)
meminta kerajaan mempertimbang kenaikan gaji serta pemberian insentif
kepada juruterbang pasukan itu supaya mereka tidak berhijrah ke sektor
komersial yang menawarkan gaji lebih lumayan.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit
Aman Datuk Salleh Mat Rashid berkata perkara tersebut disuarakan
memandangkan buat masa ini juruterbang PGU PDRM semakin berkurangan.
"Setakat ini seramai 30 juruterbang telah meletakkan jawatan dan jumlah
terkini juruterbang ialah seramai 105 pegawai," katanya kepada
pemberita selepas majlis pemakaian pangkat di PGU Pengkalan Semenanjung,
Sungai Besi di sini, hari ini.
Salleh berkata walaupun jumlah tersebut adalah mencukupi namun dalam faktor penugasan ia 'tidak selesa' dan membimbangkan.
"Juruterbang dalam PGU PDRM semuanya terlatih, berpengalaman, komited
dan boleh ditugaskan bila-bila masa, oleh itu sepatutnya gaji mereka
lebih tinggi berbanding anggota lain," katanya.
Beliau berkata walaupun seseorang juruterbang itu ditawarkan elaun penerbangan namun jumlahnya tidak setinggi sektor komersial.
"Kebiasaannya juruterbang kita (PGU PDRM) jika ke sektor komersial boleh mendapat gaji yang lebih tinggi," katanya.
Selain juruterbang, beliau juga meminta gaji serta elaun jurutera PGU PDRM turut dinaikkan.
Terdahulu, 11 pegawai kanan yang terdiri daripada juruterbang dan
jurutera PGU PDRM dari seluruh negara mendapat kenaikan pangkat.
Mengenai kenaikan pangkat tersebut, Salleh berkata ia adalah satu
pengiktirafan oleh kerajaan supaya mereka melaksanakan tugas dengan
lebih cemerlang.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan