Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, Najib Razak bersama bosnya, Tun Mahathir Mohamad tidak mahu perubahan kerana mereka sebenarnya takut menghadapi pertukaran kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) nanti.
Beliau berkata, rakyat berhak menentukan siapa yang bakal meneraju negara dan tiada siapa boleh menghalang kemahuan mereka termasuk Najib dan Mahathir.
Katanya, larangan untuk rakyat membuat perubahan menunjukkan Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri itu tidak memahami pengertian demokrasi.
“Najib sama seperti Tun Mahathir, tak tahu apa itu demokrasi. Dalam sistem demokrasi, perubahan pasti akan berlaku, dan ia bukan tugas parti memerintah yang menentukan tetapi di tangan rakyat,” tegas Tian yang juga Ahli Parlimen Batu.
“Cukuplah BN selama ini menindas rakyat. Apa yang Pakatan Rakyat perjuangkan supaya rakyat mempunyai kuasa untuk memilih, bukan sekadar memilih Pakatan, tapi apa saja parti yang boleh beri rakyat perubahan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Najib meminta rakyat tidak membuat perubahan yang belum pasti kebaikannya dalam PRU ke 13 akan datang pada majlis rumah terbuka beliau di Pekan, Pahang, semalam.
Najib turut menjanjikan Barisan Nasional (BN) akan memacu negara kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kita dah beri 50 tahun, pun masih tak dapat beri yang terbaik. Saya juga tak nampak bahawa Najib ada keupayaan untuk melakukan yang lebih baik,” kata Tian sinis.
“Mahathir sendiri mengaku BN itu seperti syaitan yang sudah melakukan pelbagai kejahatan,” kata beliau lagi.
Menurutnya, sejak 2008, setiap kali kerajaan BN membuat perubahan, pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih menekan, seperti Akta Himpunan, Seksyen 114A Akta Keterangan dan Akta Keselamatan.
“Itu menunjukkan Najib tak ikhlas dalam melakukan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan