HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2012

Pakatan komited mahu tadbir negara, BN pula caca marba

Oleh Aisya Geoffrey

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad bertegas, Pakatan Rakyat (Pakatan) secara kolektif komited membentuk Kerajaan Pusat pada pilihan raya umum akan datang walaupun pelbagai halangan oleh Umno BN.

Beliau menempelak kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kononnya Pakatan hanya bersifat sementara dan tidak akan bertahan lama kerana mempunyai agenda berbeza.

“Mereka (BN) tak faham, setiap parti dalam Pakatan ada ideologi tersendiri tapi kita ada komitmen bersama untuk mentadbir negara,” katanya.

“Tak seperti BN yang lagi caca merba, tidak ada kesefahaman, seperti dalam isu hudud dan hanya mahu kuasa,” tempelak Nik Nazmi lagi.

Beliau turut membidas Menteri Pertahanan itu kerana mengatakan Pakatan belum menunaikan 85 peratus manisfesto mereka.

Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia menyarankan Menteri Pertahanan itu membaca semula dasar Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga sebelum membuat tuduhan melulu.

“Zahid kena baca balik dasar kita, bukan setakat telah ditunaikan malahan Kerajaan Pusat sendiri beberapa kali meniru dasar yang ada dalam Buku Jingga,” katanya ketika dihubungi.

“Contoh seperti cuti bersalin tiga bulan yang mula-mula dilaksanakan di Selangor, kemudian Kerajaan Pusat mengumumkan langkah sama,” kata beliau.

“Di Selangor sahaja, kerajaan negeri telah membuktikan banyak komitmen kepada warga emas, anak kecil, air percuma dan mikrokredit kepada rakyatnya,” jelasnya.

Terbaru, Nik Nazmi berkata, sebanyak 25 peratus potongan cukai pintu pangsapuri kos rendah di seluruh Selangor diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim Jun lalu.

“Ini jelas menunjukkan tuduhan Zahid itu tidak benar sama sekali dan ia hanyalah tuduhan yang ‘cerdik’ dari Zahid,” kata Nik Nazmi.

Tiada ulasan: