HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2012

Anak muda Kelantan gerak Merdeka Royalti

Muhamad Faizal Che Yusoff,

MENJELANG tarikh sambutan kemerdekaan, saya terpanggil untuk meninjau satu himpunan yang akan diadakan di Dataran Stadium, Kota Bharu pada 30 Ogos 2012 (esok).

Himpunan yang dinamakan “Merdeka Royalti” yang diadakan sempena sambutan hari kemerdekaan negara ke-55 dapat dilihat sebagai fokus ia diadakan.

Himpunan yang digerakkan oleh sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai aktivis-aktivis R yang disebut juga Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas di Kelantan, bukanlah suatu gerakan yang didokong secara langsung ahli-ahli politik.

Ia adalah satu gerakan rakyat, bahkan ahli-ahli politiklah yang menumpang kekuatan gerakan ini.

Himpunan mereka tidak lain tidak bukan, kerajaan Malaysia sempena sambutan kemerdekaan ke-55 perlu menyempurnakan pembayaran royalti petroleum melalui Petronas kepada Kelantan.

Apa yang lebih penting gerakan R telah berjaya merakyatkan tuntutan terhadap kerajaan pusat dan Petronas.

Kumpulan anak muda terbabit juga mampu merakyatkan gerakan menuntut pelaksanaan syariat di bumi Malaysia ini. Dengan gerakan dan aktiviti yang konsisten, rakyat mudah faham apa yang dibawa dan mesej ingin disampaikan.

Apatah lagi baru-baru ini Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memperakui PAS hanya akan melaksanakan hudud melalui saluran demokrasi.

Secara mudah demokrasi ialah apa yang diinginkan rakyat. Perjuangan PAS dalam mendaulatkan hukum Islam bukan lagi rahsia. Bahkan perbezaan pendapat antara PAS dan DAP dalam isu berkenaan telah diperakui pimpinan Pakatan Rakyat.

Bahkan telah wujud kesepakatan untuk bersetuju pada apa jua yang tidak dipersetujui. Bukankah itu suatu perakuan yang hanya menunggu suara rakyat untuk bersuara?

Maka senario inilah memerlukan satu gerakan yang bersepadu dan konsisten memberi kefahaman dan mesej jelas kepada rakyat untuk menerima hukum Islam sebagai undang-undang tertinggi negara.

Dengan pembabitan secara langsung dengan aktivis-aktivis R, saya penuh yakin keupayaan mereka mampu untuk menyemarakkan obor-obor perjuangan Islam di Malaysia.

Semoga gerakan massa ini tidak dipandang hanya sebelah mata oleh pendokong-pendokong kebenaran. Aktivis-aktivis parti di pelbagai sayap bolehlah mencontohi apa yang dilakukan kumpulan anak muda di Kelantan.

Mereka bergerak hanya dengan perbelanjaan sendiri. Semoga sambutan kemerdekaan ke-55 tahun ini membuka lembaran baru kepada gerakan yang lebih agresif demi mendaulatkan Islam di bumi tercinta ini.

Al-Quran dan hadis hanya menunggu kita untuk membongkar segala isinya bagi diterjemahkan secara nyata. Ayuh tekadkan semangat, tingkatkan jihad!

Tiada ulasan: