Hazayani Zakaria, |
KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggesa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menilai kualiti dan ketelusan pilihan raya kampus di Malaysia.
Jurucakap Pro Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto berkata, terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dan memerlukan Bersih campur tangan dalam isu ini.
Antaranya, 'Opss 2020 yang digunakan Umno BN untuk menyekat mahasiswa dalam pilihan raya kampus.
"Jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara (BTN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pentadbiran universiti digunakan untuk melambatkan pilihan raya kampus yang sepatutnya diadakan September depan," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) petang ini.
SMM juga mahu Bersih campur tangan berhubung keengganan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pentadbiran universiti mengadakan pilihan raya kampus selepas lebih setahun pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
"Tiada alasan kukuh yang dilihat boleh menunda tarikh pilihan raya kampus melainkan terdapat kepentingan tertentu dalam pilihan raya kampus mahasiswa," katanya.
Selain itu, Bersih diminta menilai sistem kempen pilihan raya kampus yang dianggap tidak munasabah.
"Tempoh berkempen hanya tiga hari, sehari kuliah dan dua hari cuti.
"Bagaimana calon-calon mahu berkempen dalam masa sesingkat itu dan pada hari cuti?" soalnya.
Gesaan tersebut terkandung dalam memorandum yang diserahkan SMM kepada Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk A. Samad Said.
Ambiga dalam responsnya berkata, pihaknya akan meneliti memorandum tersebut dan akan berusaha membantu mahasiswa membaiki tahap ketelusan pilihan raya mereka.
"Tuntutan mahasiswa ini sangat munasabah dan mempunyai persamaan dengan tuntutan Bersih yang mahukan pilihan raya yang adil.
"Mahasiswa menunjukkan kuasa mereka dan menunjukkan keprihatinan mereka terhadap demokrasi di kampus dan Bersih menyokong tindakan ini," katanya.
SMM sebelum ini telah menyerahkan memrandum menggesa pilihan raya kampus disegerakan kepada KPT tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan