HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Ogos 2012

Tian Chua: Anjur Hari Merdeka PR bukan ‘sambutan bayangan’

RUZY ADILA IDRIS

Tian Chua
Tian Chua
 
KUALA LUMPUR – Pakatan Rakyat (PR) menafikan penganjuran Hari Kemerdekaan oleh kerajaan-kerajaan negeri perikatan itu tahun ini termasuk penggunaan tema sendiri satu bentuk ‘sambutan bayangan’.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), PR tidak mampu membuat buat apa-apa sambutan kerana tidak menerajui kerajaan negeri kecuali Kelantan oleh Pas.

"Melalui negeri-negeri yang diperintah PR ketika ini, sambutan dibuat mengikut kesesuaian setiap negeri tetapi matlamatnya tetap sama untuk tampil semangat patriotisme.

"Saya yakin kalau PR jadi pemerintah, sambutan akan lebih meriah dan apa yang PR buat sekarang adalah satu bentuk sumbangan," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Katanya lagi, kemungkinan jika PR memerintah, mereka akan mempelawa lebih ramai sasterawan untuk sama bantu menghasilkan tema yang lebih komprehensif.

Beliau yang juga Ahli Parliem Batu berkata, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said diundang untuk membantu memilih cogan kata terbaik dan membuat terjemahan.

"Tema asal yang ingin digunakan ialah 1 Negara, 1 Bangsa, 1 Hati, 1 Jiwa dan kemudiannya ditukar kepada Senegara, Sebangsa, Sejiwa.

"Menurut Pak Samad, kata hubung "se" adalah lebih baik daripada "1" kerana selepas 55 tahun merdeka rakyat Malaysia akhirnya diiktiraf sebagai sebangsa.

"Melayu, India dan Cina itu lebih sesuai disebut sebagai 'kaum' yang mewakili etnik-etnik di Malaysia," katanya yang mengambil contoh rakyat Indonesia yang  bangga mengiktiraf diri mereka sebagai bangsa Indonesia,” jelas beliau lagi.

Ketika ditanya mengenai penekanan PR dalam sambutan kemerdekaan, Tian Chua berkata, perikatan itu memfokuskan soal  'titik pertemuan' antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira kaum, agama, status dan pangkat dalam menyambut Hari Kemerdekaan ke-55, yang menyaksikan penggunaan tema yang berbeza.

Tian Chua berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini diharap dapat memberi peluang kepada pemimpin PR memupuk nilai-nilai perpaduan dan bergerak maju ke hadapan bersama-sama.

"Kami tidak mempertikaikan bagaimana mana-mana pihak membuat sambutan kemerdekaan ini, tetapi di pihak PR sendiri, fokus kami lebih kepada konsep asal negara ini supaya perpaduan akan terus terjalin dan dapat mengelakkan perpecahan.

"Malah, PR sebelum ini turut mengkritik kerajaan kerana menggunakan pentas sambutan kemerdekaan sebagai platform kempen politik," katanya.

Beliau menambah, sebelum ini PR pernah merayu Kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya memilih tema, logo dan lagu sambutan kemerdekaan yang lebih inklusif.

Ujar Tian Chua, selain desakan dari PR, desakan daripada beberapa badan-badan bukan kerajaan (NGO) kemudiannya menyebabkan Kerajaan BN akur dan menukar logo dan lagu sahaja dengan mengekalkan tema sambutan yang sama iaitu "55 Tahun Janji Ditepati".

"Tema berkenaan jelas melambangkan BN bersifat kepartian.

"Sedangkan pada zaman perdana menteri yang sebelum ini ada juga memperkenalkan tema yang cenderung kepada parti tetapi tidaklah ketara seperti sekarang hingga berlaku perpecahan," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: