HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Ogos 2012

Ribuan rakyat banjiri Himpunan Hijau bantah guna kimia bahaya

Oleh Aliff Fikri

KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat akan membanjiri Himpunan Hijau Ahad ini sebagai tanda bantahan penggunaan bahan kimia berbahaya, sianida dalam proses perlombongan emas di Bukit Koman, Raub.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, kesedaran masyarakat di Pahang dan Malaysia khususnya berhubung permasalahan alam sekitar semakin meningkat semenjak isu Lynas diketengahkan.

“Mobilisasi dari seluruh pelusuk negeri akan turun sebagai tanda sokongan terhadap bantahan,” katanya ketika dihubungi.

Fuziah berkata, isu penggunaan bahan kimia berbahaya sebenarnya telah lama mendapat bantahan dari penduduk.

“Sebelum ini sudah ada suara bantahan dari penduduk, cuma suara itu mungkin tidak cukup kuat.
Kejayaan dalam Himpunan Lynas yang mendapat liputan meluas dari dalam dan luar negara telah menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk ke depan membangkitkan kembali isu ini yang ternyata membahayakan kesihatan mereka.

“Peranan kita dalam isu ini adalah untuk membantu mereka sedaya upaya demi kesejahteraan mereka,” kata Fuziah yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Lombong emas Bukit Koman diusahakan oleh Raub Australian Gold Mine (RAGM) telah menggunakan bahan kimia merbahaya sianida bermula Februari 2009 dalam proses pengekstrakan emas.

Lebih 300 penduduk berhampiran dikatakan telah jatuh sakit akibat dari kesan penggunaan sianida, khususnya penduduk Kampung Bukit Koman yang mengadu mengalami masalah kegatalan kulit melampau, kesukaran bernafas dan pelbagai kesan lain.

Himpunan Hijau Raub anjuran Pakatan Rakyat bersama beberapa NGO itu diadakan pada 2 September ini di Taman Tasik, Jalan Bukit Koman bermula jam 2.00 petang.

Tiada ulasan: