HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Ogos 2012

Unisel akan terus bincang isu penempatan pelajar

Muhammad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: Universiti Selangor (Unisel) akan terus mengadakan perbincangan dengan Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi menyelesaikan masalah penempatan pelajar.
Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad (gambar) menjelaskan pihak universiti akan mencari jalan terbaik melalui perbincangan syarikat JNSB demi kebajikan pelajar.

Malah menurutnya, walaupun pihak pengurusan hostel telah membenarkan pelajar-pelajar Unisel memasuki hostel tersebut namun perbincangan tetap diteruskan bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang terutama melibatkan kos yang terlalu tinggi ditanggung oleh pihak universiti.

"Pihak JNSB telah membuka semula pejabat residen di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor apabila persetujuan dicapai pada sesi pendengaran mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat sebelum cuti hari raya lalu selepas Unisel memfailkan permohonan perintah.

"Walaupun perintah tersebut telah diperolehi, kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak JNSB berhubung dengan soal kos yang ditanggung oleh Unisel setiap bulan yang bagi kami ia agak tinggi," jelasnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, kos yang dikenakan kepada pelajar sebanyak RM200 sebulan adalah satu jumlah yang agak tinggi jika dibandingkan dengan kos penginapan di luar kampus.

Selain itu juga, pihak Unisel terpaksa membayar hampir RM1 juta setiap bulan untuk tempoh setahun (12 bulan).

"Walaupun jumlah pelajar yang menginap di asrama tidak sepenuhnya iaitu sekitar 3,500 orang pelajar namun Unisel terpaksa membayar penuh mengikut jumlah penempatan pelajar iaitu 5,000 orang," katanya.

Jelas Dr Anuar, kontrak selama 20 tahun yang akan berakhir pada 2025 adalah satu tempoh yang amat panjang dan jika isu sedemikian tidak dapat diselesaikan ia akan merugikan pihak Unisel dan juga pelajar.

"Saya tidak mahu memberi penjelasan terperinci mengenai tindakan selanjutnya Unisel selagi kita tidak mengetahui keputusan dari perbincangan yang akan diadakan nanti.

"Apa yang pasti kita mahu lakukan suatu yang terbaik untuk pelajar-pelajar Unisel," tambahnya lagi.

Beliau sebelum ini cukup kecewa dengan isu penginapan yang dimainkan oleh pelbagai pihak.

Tiada ulasan: