HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Ogos 2012

PAS Kelantan sumbang RM54,000 untuk pelajar Yik

Rizal Tahir,
MACHANG: PAS Kelantan melalui sumbangan Badan Amal Kesejahteraan Insan (Amal) membelanjakan sejumlah RM54,000 sebagai sumbangan kepada lebih 330 orang pelajar bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) ke Timur Tengah.

 Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis meraikan pelajar Yik ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Dewan Ulama (Madu), di sini tengah hari tadi.

Turut menyampaikan sumbangan pengerusi Amal, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) dan Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Seramai 330 orang pelajar bakal melanjutkan pengajian mereka dalam bidang perubatan, Pengajian Islam, kejuruteraan di Jordan, Mesir, Morocco dan Arab Saudi.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu mengingatkan pelajar berkenaan berhati-hati di bumi anbia kerana mereka akan sentiasa diuji.

Menurutnya, Timur Tengah tempat kelahiran para nabi, namun pada masa yang sama golongan taghut juga lahir di tempat yang sama.

“Guna ilmu yang kita pelajari sebaik mungkin, jangan kita pula mudah terpesong dengan ajaran yang tidak selari dengan kehendak Islam,” katanya.

Sementara itu Tengku Azmi, memberitahu, daripada 330 orang calon, seramai 59 akan melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran di Mesir, 186 pelajar pula ke Jordan untuk bidang pengajian Islam dan kedoktoran.

“Manakala 17 pelajar yang lulus Imtihan Qabul akan melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di Mesir,” ujarnya.

Tiada ulasan: