HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2012

OCPD KL: Perhimpunan ‘Janji Demokrasi’ gugat sambutan Merdeka


KUALA LUMPUR — Ketua Polis Daerah Dang Wangi, OCPD Zainuddin Ahmad, hari ini berkata, perhimpunan Janji Demokrasi yang dianjurkan oleh Gabungan Janji adalah perhimpunan haram yang akan menggangu persiapan sambutan Hari Kemerdekaan ke 55. 
 
Menurut beliau lagi, Gabungan Janji telah gagal untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Akta Perhimpunan Aman, 2012.

“Saya ingin memaklumkan bahawa perhimpunan Gabungan Janji Demokrasi yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 30 Ogos 2012 antara 2200 hrs hingga 2400 hrs adalah satu perhimpunan yang bertentangan dengan undang-undang diatas alasan-alasan seperti berikut:

“Gagal memberi pemberitahuan bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kepada ketua polis daerah, Dang Wangi.

“Gagal memperoleh persetujuan daripada pemunya tempat perhimpunan, iaitu Dataran Merdeka bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Maria Chin Abdullah: Dipanggil oleh pihak polis untuk berbincang mengenai program Gabungan Janji. — Foto fail
“Akan menggugat persiapan yang dibuat untuk menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2012,” kata surat yang dikirimkan oleh Polis Daerah Dang Wangi kepada Maria Chin Abdullah, wakil Gabungan Janji.
 Isnin lalu, Maria telah dipanggil oleh pihak polis untuk berbincang mengenai program Gabungan Janji di Dataran Merdeka malam ini.
Malam ini, Gabungan Janji akan berhimpun di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Dalam sidang akhbar Jumaat lepas, Gabungan Janji memberitahu bahawa perhimpunan pada malam ambang kemerdekaan akan turut diadakan di negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sasterawan negara, Datuk A Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih dijangka akan membaca puisi khas semasa program tersebut.

Perhimpunan ini bertujuan untuk mendesak kerajaan menunaikan lapan tuntutan Bersih seperti pembersihan daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal, kempen pilihan raya sekurang-kurangnya 21 hari, akses media yang adil kepada semua, pihak kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Tiada ulasan: