HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Ogos 2012

Polis:Himpunan Janji Demokrasi Haram

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Polis telah memaklumkan kepada penganjur Janji Demokrasi bahawa rancangan mereka untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada malam Khamis adalah haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tiada permit dikeluarkan untuk sebarang perhimpunan.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Janji Demokrasi, Maria Chin Abdullah berkata, mereka menerima surat daripada polis memaklumkan bahawa perhimpunan tersebut adalah haram.

Seorang lagi ahli jawatankuasa perhimpunan itu, Hishamuddin Rais berkata, surat diserahkan sendiri ke pejabat Empower Malaysia di mana Chin adalah Pengarah Eksekutifnya pada pukul 3 petang, Khamis.

"Jawatankuasa itu bertemu pada malam Rabu dan kami memutuskan untuk meneruskan perhimpunan jika ia dianggap haram oleh polis tetapi tidak semestinya diadakan di Dataran Merdeka," kata Hishamuddin ketika dihubungi.

"Para peserta akan memakai baju kemeja-T berwarna kuning dan kita akan berada di sekitar Kuala Lumpur untuk meraikan sambutan Merdeka. Kita tidak akan berkonfrontasi dengan polis. Kita juga tidak berniat mengganggu harta benda untuk perarakan di Dataran Merdeka," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan polis bahawa penganjur gagal memaklumkan kepada polis 10 hari lebih awal, Hishamuddin berkata penganjur tidak fikir rakyat berhasrat untuk meraikan sambutan kemerdekaan sesebuah negara sebenarnya akan memerlukan kebenaran daripada pihak polis.

Tiada ulasan: