| Muhammad Hasbullah Md Najib, |
|
Setiap tahun warga kampus akan melaksanakan rutin tahunan mereka bagi memilih kepimpinan mahasiswa yang akan menjadi suara mahasiswa kepada pihak pentadbiran universiti.
Namun pilihanraya kampus tahun ini menjadi tumpuan umum kerana inilah pilihanraya kampus terakhir sebelum pilihanraya umum yang ke 13 yang bakal menjelang bila-bila masa dari sekarang.
Ianya kerana sebahagian masyarakat beranggapan bahawa pilihanraya kampus merupakan penanda aras ataupun keputusan jangkaan tentang apa yang bakal berlaku dalam pilihanraya umum yang akan datang. Keputusan di kampus menandakan sokongan golongan anak muda di kampus sama ada memihak kepada kerajaan mahupun Pakatan Rakyat.
Saya selaku mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar ingin menyatakan bahawa teori dan pandangan tersebut adalah tidak tepat untuk masa kini kerana situasi dua perkara ini (Pilihanraya Kampus dan PRU) adalah berbeza sama sekali.
Pertandingan d iantara Pro Aspirasi yang dikatakan menyokong kerajaan dan Pro Mahasiswa yang dikatakan menyokong Pakatan Rakyat sebenarnya tidak berlaku di semua IPTA di dalam negara ini.
Ini kerana tidak semua kampus mengamalkan konsep calon mewakili "Parti" ini dalam bertanding. Sebahagian kampus sebagai contoh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa IPTA lain tidak membenarkan calonnya secara rasmi mengumumkan diri mereka mewakili pihak mana.
Mahasiswa akan mengundi calon itu berdasarkan kapasiti individu itu sendiri dan bukannya dari parti mana. Dalam kes ini juga, apabila calon itu menang maka secara tiba-tiba Aspirasi akan mengaku bahawa mereka menang di kampus tersebut. Saya sendiri pada awalnya dikatakan Aspirasi dan menerima jemputan untuk menghadiri program Aspirasi sedangkan saya tiada kaitan langsung dengan Aspirasi!
Aspirasi juga realitinya tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya telah berkubur lama di sebahagian IPTA. Sewaktu pilihanraya kampus tahun lepas, saya sendiri menjadi "contact person" oleh pimpinan Aspirasi Malaysia bagi menanyakan status terkini perjalanan pilihanraya di kampus kami kerana Aspirasi telah lama berkubur dari persada kampus kami dan mereka tidak mempunyai orang mereka sendiri untuk memberi maklumat kepada mereka.
Antara lain mengapa saya katakan pilihanraya kampus tidak boleh menjadi penanda aras kepada pilihanraya umum adalah kerana, menguasai proksi MPP disemua kampus bukanlah hasrat utama Pro Mahasiswa.
Di kampus-kampus utama terutama di lembah Klang ya! Tetapi tidak di kampus lain. Di sebahagian kampus, Pro Mahasiswa tidak menghantar calon yang penuh dan ada kampus tidak menghantar calon langsung kerana misi siyasah Pro Mahasiswa itu berbeza di setiap kampus bergantung kepada keperluan dan "waqi'" kampus tersendiri. Sebahagian kampus cukup untuk mereka sekadar menguasai perwakilan kolej kediaman dan persatuan sahaja untuk mereka menguasai siyasah kampus.
Keprihatinan mahasiswa dalam arena politik kampus juga jauh berbeza dengan arena politik negara. Mahasiswa lebih terdedah dan peka dengan politik negara yang hangat setiap hari berbanding dengan politik kampus yang hanya hangat setahun sekali seperti menyambut Aidilfitri.
Ini menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak mengambil peduli langsung tentang pilihanraya kampus yang berlaku hinggakan sebahagian kampus terpaksa memberi merit kokurikulum dan merit kolej penginapan kepada sesiapa yang datang mengundi untuk memastikan peratusan mahasiswa yang turun mengundi tinggi.
Inilah mengapa saya katakan bahawa keputusan pilihanraya kampus tidak boleh dijadikan penanda aras kepada keputusan pilihanraya umum yang akan berlaku kerana realitinya amatlah berbeza dari tanggapan masyarakat umum. Apa yang saya telah nyatakan di atas hanyalah sebahagian dari pengalaman saya sebagai Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar dan tidak termasuk lagi kes-kes kepincangan perjalanan pilihanraya kampus dan keputusan yang meragukan yang berlaku di sebahagian kampus di negara ini.
Penulis ialah Pengerusi Alumni Unimas Zon Selatan Malaysia dan mantan Yang Dipertua MPP Unimas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan