Oleh SAIDAH HAIRAN |
Pendekatan kekerasan, ugutan dan deraan digunakan bagi menghalang kebangkitan PAS, yang sudah mendapat sokongan ketika itu.
Ketika itu wujud satu kumpulan yang dinamakan pemuda tahan lasak. Tujuan pemuda tahan lasak ini untuk menakut-nakutkan penyokong PAS. Pemuda tahan lasak ketika itu bertindak amat agresif Mereka membakar jambatan bagi menghalang ahli PAS keluar mengundi.
Pemuda tahan lasak juga bersenjatakan kapak untuk memukul penyokong PAS.
Selepas 50 tahun berlaku, senario itu seakan berulang apabila kerajaan BN menggunakan kekerasan untuk menghalang kebangkitan rakyat. Sebagai contoh, himpunan aman Bersih. Berlaku kebangkitan anak-anak muda dan golongan bukan Melayu.
Menjelang himpunan aman Bersih 1, polis mengadakan sekatan di seluruh negara dengan pemeriksaan rapi terhadap semua kenderaan serta merampas baju berwarna kuning.
Tangkapan demi tangkapan dilakukan sehingga hari himpunan Bersih. Namun, rakyat terus mara dan bangkit menyatakan bantahan terhadap pemerintah. Rakyat tidak gentar sebaliknya himpunan aman Bersih 2; membantah ISA, PPSMI terus diadakan.
Bagi menghalang rakyat mara pihak pemerintah menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan semburan air kimia dan tembakan gas pemedih mata. Namun, pemerintah gagal menghalang kebangkitan rakyat.
Rakyat terus bangkit. Sokongan terhadap PAS bertambah.
Jika dahulu golongan artis, profesional, orang bukan Islam dan generasi muda ramai menyokong BN; tetapi sekarang sokongan itu beralih kepada Pakatan Rakyat.
Inilah cabaran sengit yang terpaksa dihadapi BN ditambah dengan pelbagai kemelut terutama masalah skandal pemimpin mereka dengan penyelewengan peruntukan, salah guna kuasa dan sebagainya.
Umno-BN kini berada dalam keadaan terdesak dan cukup parah. Mereka terpaksa melakukan apa sahaja untuk meraih kembali sokongan rakyat. Pimpinan Umno-BN tahu mereka sudah kurang mendapat sokongan daripada rakyat khususnya generasi muda, artis dan orang bukan Islam. Mereka tahu dalam pilihan raya umum nanti, mereka akan kalah. Umno-BN tahu rakyat sudah menolak kepimpinan mereka.
Terkini, sekumpulan 30 samseng Umno mengadakan demonstrasi dan bertindak ganas dengan menyerang ibu pejabat KeADILan di Tropicana, Damansara. Kumpulan tersebut dilaporkan memakai kemeja-T Umno dan Barisan Nasional.
Mereka memegang kain rentang sambil menjerit ‘Jalur Gemilang’ dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu, kumpulan yang memakai baju Perkasa bertindak agresif dan ganas dengan menjerit, memadamkan lampu, membaling kasut ketika Anwar sedang menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussin, Seberang Pumpong, Alor Setar pada 2 September lalu.
Di Kota Bharu, Kelantan, bas khas `Jelajah Merdeka Rakyat’ yang digunakan oleh pimpinan KeADILan disimbah cat manakala cermin depan bas pecah. Kejadian itu berlaku jam 5 pagi.
Adakah perlakuan melampau ini ada kaitan dengan laungan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang berikrar dan bersumpah akan pertahankan Putrajaya hingga ke titisan darah terakhir.
Begitu juga peringatan beliau di malam pemimpin bersama rakyat didahulukan, di Selangor, beliau berkata; “Warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka untuk merampas Selangor.
Apakah maksud sumpah dan ikrar serta peringatan tersebut? Tidak mustahil ada kaitan dengan tindakan ganas dan biadap pemuda yang menyerang bas Ke- ADILan serta Anwar di masjid.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, Umno kini sudah berada dalam keadaan cukup parah dan kritikal sebab itu mereka sanggup buat apa sahaja untuk mempertahankan kuasa.
Menurut beliau, sambutan Merdeka di Stadium Bukit Jalil malam 31 Ogos lalu, Umno menggunakan artis dan cabutan nombor bertuah dengan menyediakan hadiah kereta.
“Ini hadiah yang cukup besar. Ini semua dilakukan supaya rakyat beramai-ramai datang ke sambutan Merdeka,” katanya.
Beliau berkata, sebenarnya Umno sudah lama kritikal dan mereka tidak ada isu untuk menghentam Pakatan Rakyat. Sebab itu mereka sedaya upaya mengadakan isu untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat.
Pilihan raya umum ke-13 memang sengit dan tidak mustahil tragedi yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan akan berulang semula, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan