Nadjmin
AES
(Automated Enforcement System) adalah satu lagi polemik politik
terkini yang hangat diperdebatkan terutama sekali semakin menjelang
pilihan raya umum ke-13. Ianya telah dipromosikan dengan tegas oleh
kerajaan tetapi dibangkang dengan keras oleh pihak pembangkang.AES
tujuannya ialah untuk menjadi mata-mata kepada polis trafik negara
memandangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat saban tahun,
sedangkan bilangan polis trafik tidak mencukupi untuk memantau
keselamatan jalan raya.
AES
sebelum ini telah pun digunakan di negara-negara maju dan setakat ini
tiada isu yang berbangkit di sana memandangkan jikalau menurut mereka
di sana yang bermindakan ‘dunia pertama’, mereka memahami perlunya ada
satu mekanisma untuk mengawal keselamatan jalan raya yang tidak lagi
mampu dilakukan secara berkesan oleh manusia.
Oleh itu, AES diperkenalkan sebagai satu teknologi canggih jalan raya dan penggunaannya melambangkan ciri-ciri negara maju.
Lantaran itu, negara-negara maju memang tidak bermasalah dengan AES.
Apabila
AES diperkenalkan di Malaysia, seharusnya kita ada 2 perasaan :
pertama, bangga kerana kita telah mengintegrasikan satu lagi ciri
negara maju dan itu bermaksud kita juga dah makin maju, kedua, malu
kerana nilai-nilai murni kita yang semakin merosot terutama sekali di
jalan raya sehingga kita terpaksa menggunakan mesin untuk mengawal diri
kita sendiri. Maka, ini adalah satu ciri negara maju yang sepatutnya
kita tolak.
Saya
melihat penggunaan AES sebagai satu kebaikan, kerana saya seringkali
menggunakan motorsikal ke tempat kerja dan saya faham kadang-kadang
pemandu kereta dan pemandu lori boleh menjadi sangat biadap dengan
tidak menghiraukan keselamatan penunggang motorsikal.
Terutama
sekali di waktu pagi ketika berangkat ke tempat kerja, kebiasaannya
semua kenderaan terburu-buru. Sikap ini kelihatan apabila ada kenderaan
bertayar empat ini yang melanggar lampu isyarat merah, tidak
memperlahankan kereta ketika lampu isyarat kuning, mengekori kenderaan
lain terlalu rapat supaya dapat mencari celahan di antara kereta untuk
mencelah dan membrek secara mengejut.
Dan dalam
banyak kes, biasalah yang lebih menanggung sengsara kalau ada apa-apa
hal yang berlaku ialah penunggang motorsikal. Yalah, mentimun dan
durian bergolek, menggolek pun terkena, digolek pun terkena.
Baru-baru
ini pun ada satu kes melibatkan pemandu lori yang tidak sempat membrek
lalu melanggar seorang penunggang motorsikal yang ketika itu menunggu
lampu isyarat merah. Ikut peraturan pun kena juga. Maka, waktu pagi
adalah waktu yang sangat berbahaya bagi penunggang motorsikal.
Apabila
AES diperkenalkan, ia dijangka bakal mewujudkan perasaan gerun kepada
pengguna jalan raya untuk melanggar undang-undang. Ini boleh
menghasilkan persekitaran trafk yang selamat untuk semua orang.
Lalu, pengenalan AES ini sebenarnya memberi kebaikan. Jangan lagi ditanya kenapa kena ada AES, kerana moral kita di jalan raya yang sudah teruk.
Lalu, pengenalan AES ini sebenarnya memberi kebaikan. Jangan lagi ditanya kenapa kena ada AES, kerana moral kita di jalan raya yang sudah teruk.
Walau
bagaimana pun, ramai orang yang membantah pemasangan AES. Antara alasan
mereka ialah mereka akan makin kerap disaman dan habislah pendapatan
bulanan diguna untuk bayar saman. Ada juga yang mengatakan pemasangan
AES tidak sesuai di kawasan-kawasan tertentu seperti di hospital kerana
hospital biasa dikaitkan dengan kes-kes kecemasan. Ada juga yang tidak
bersetuju kerana AES dipasang di kawasan yang bukan ‘kawasan hitam’,
maka mereka kena berhati-hati setiap masa tak kira di mana.
Dari segi
politik, pihak pembangkang membantah pemasangan AES kerana ia dituduh
sebagai satu tindakan penswastaan saman trafik (cari untung melalui
saman).
Hujah
pembangkang ialah pemasangan AES ini berlaku selepas kerajaan membuat
perjanjian konsesi dengan 2 syarikat swasta iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta
Tegap Sdn Bhd yang mana dalam perjanjian tersebut, kedua-dua syarikat
ini akan bertanggungjawab memasang AES di 831 kawasan hitam di seluruh
negara dengan kos pemasangan ditanggung oleh kedua-dua syarikat ini
yang mana jumlah kos mencecah RM300 juta dan RM400 juta setiap satu.
Dengan cara ini, kerajaan dijangka tidak akan mengeluarkan sesen pun
dalam pemasangan AES. Hmm, bijak juga.
Walau
bagaimana pun, masalah yang timbul ialah bagaimana kedua-dua syarikat
ini mahu mendapatkan semula wang pelaburan mereka, seterusnya menjana
keuntungan kerana satu-satunya sumber pendapatan mereka nanti ialah
saman trafik. Jadi, untuk mendapatkan jumlah pelaburan keseluruhan
RM700 juta sahaja, AES ini perlu menghasilkan jumlah saman sebanyak
13.6 juta yang mana setiap saman bernilai RM300 untuk memandu laju dan
lain-lain kesalahan berat. Dan kesemua ini perlu diperolehi dalam masa 5
tahun sebelum AES ini nanti menjadi hak milik mutlak kerajaan.
Kerana itu
pihak pembangkang menjangkakan ia adalah perkara yang hampir mustahil
untuk dicapai, melainkan sekiranya berlaku penyelewengan AES seperti
pemasangan di kawasan yang tidak patut, mengenakan kesalahan secara
membabi-buta, menyaman kenderaan yang salah dan lain-lain penyelewengan
supaya jumlah saman yang diperlukan diperolehi.
Itu belum
masuk lagi dengan tuduhan yang mengaitkan kedua-dua syarikat ini dengan
Umno dan MCA yang mana ialah boleh membawa kepada tuduhan kronisme dan
rasuah.
Maka, pihak pembangkang begitu beria-ia membangkang pemasangan AES selagi perlaksanaannya tidak diperhalusi dengan lebih lanjut. Di Selangor, misalnya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menghalang perlaksanaan AES. Pelbagai halangan dicipta, dari segi politik sehinggalah ke aspek teknikal. Antara lain, beliau menghalang pemasangan AES kerana pihak Kementerian Kerja Raya gagal mendapatkan persetujuan pihak berkuasa tempatan ketika memasang AES.
Maka, pihak pembangkang begitu beria-ia membangkang pemasangan AES selagi perlaksanaannya tidak diperhalusi dengan lebih lanjut. Di Selangor, misalnya, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menghalang perlaksanaan AES. Pelbagai halangan dicipta, dari segi politik sehinggalah ke aspek teknikal. Antara lain, beliau menghalang pemasangan AES kerana pihak Kementerian Kerja Raya gagal mendapatkan persetujuan pihak berkuasa tempatan ketika memasang AES.
Akhirnya,
di negeri-negeri yang diperintah pembangkang, iaitu Kedah, Pulau
Pinang, Kelantan dan Selangor, pemasangan AES dihentikan.
Dari pihak
kerajaan sendiri, ada juga yang turut membangkang pemasangan AES.
Walau bagaimana pun, alasan mereka untuk menentang perlaksanaan AES ini
adalah menjijikkan bagi saya. Datuk Bung Mokhtar Radin, yang baru-baru
ini telah mencarut di Tweeter, yang cukup memperlihatkan betapa
rendahnya kematangan beliau, memberi alasan bahawa beliau menentang AES
ini kerana ia boleh menyebabkan BN kalah pilihan raya. Isu AES ini
dilihatnya bakal digunakan oleh pihak pembangkang untuk menentang
kerajaan. Tetapi, beliau lupa, bahawa pembangkang membangkang AES ini
kerana wujud kekhuatiran yang munasabah penyelewengan boleh berlaku,
dan ini bakal menyusahkan rakyat. Tetapi, apa yang beliau tahu ialah
janji menang pilihan raya. Soal keselamatan rakyat dan kesusahan
rakyat, belakang cerita. Ini satu contoh pemimpin yang patut ditolak
rakyat. Bagaimana dia diangkat menjadi wakil rakyat pun tak tahu.
Memang
benar wujud kekhuatiran yang munasabah untuk berlaku penyelewengan.
Walau bagaimana pun, AES tidak sepatutnya ditolak dengan begitu keras.
Ada kebaikan yang kita tidak boleh nafikan. Jika tidak, ia tidak akan
dipasang di negara-negara maju.
Bagi
mereka yang takut disaman, mulai dari hari ini, belajarlah menghormati
undang-undang jalan raya dan belajarlah menghormati hak pengguna jalan
raya yang lain. Bagi yang membantah pemasangan AES di kawasan-kawasan
kecemasan, pihak JPJ telah memberi jaminan bahawa setiap kesalahan yang
direkodkan AES tidak akan dikenakan saman serta-merta, sebaliknya akan
dinilai terlebih dahulu. Tambahan lagi, satu lagi sikap buruk pemandu
Malaysia ialah apabila ada ambulan yang dalam kecemasan, kereta-kereta
yang lain ikut menumpang laluan di belakangnya dan ini membahayakan
pengguna jalan raya yang lain. Bagi yang merungut pemasangan AES
menyebabkan mereka perlu berhati-hati setiap masa, walau pun bukan di
kawasan hitam, sebenarnya memang itulah sewajarnya sikap pemandu yang
wajib berhemah tak kira tempat.
Walau
bagaimana pun, saya juga berpendapat bahawa apabila AES dilaksanakan,
sedikit perkara perlu diberi perhatian. Antaranya ialah jumlah saman
yang dikenakan. Ini kerana kesalahan trafik akan makin kerap
direkodkan. Oleh itu, beban rakyat pun perlu diambil kira. Saman
kesalahan yang berjumlah maksimum RM300 perlu diringankan jumlahnya
secara selektif, terutama kepada golongan sederhana dan kurang
pendapatan, kerana rakyat sudah cukup terbeban dengan kelembapan
ekonomi, kadar inflasi yang meningkat, jumlah pinjaman yang sentiasa
bertambah, harga makanan rumah semakin meningkat dan sebagainya yang
semakin hari membuatkan rakyat semakin tercekik. Oleh itu, satu saman
RM300 cukup membuatkan seseorang itu terduduk.
Pada masa
sama, tidak adil jika pemandu tidak diberitahu apakah had laju di
sesuatu kawasan sehinggakan mereka yang mendapat saman AES berasa tidak
puas hati. Oleh itu, papan tanda had laju perlu ditambah dengan lebih
banyak. Kalau boleh biar tambah sekali papan tanda “AES ada di sini”.
Seterusnya,
sistem penyampaian kerajaan perlu dipertingkatkan kerana kerajaan
perlu terima hakikat bahawa saman ini direkodkan oleh mesin, bukan
manusia, walaupun selepas itu manusia juga yang akan menilainya. Oleh
itu, bakal ada ramai orang yang akan menuntut bukti dan membuat rayuan
di sana sini. Itu belum masuk lagi mereka yang bakal mencabar saman
mereka di mahkamah. Setiap proses ini perlu dibantu oleh pihak kerajaan
supaya lebih licin. Jangan disusahkan mereka ini kerana itu juga hak
mereka. Ubah persepsi rakyat bahawa AES sebenarnya adalah rakan dan
bukan lawan. Gagal melihat perkara ini dalam jangka masa panjang boleh
menyebabkan AES gagal sebagai satu sistem pemantauan yang berkesan dan
seterusnya dimusuhi segenap masyarakat.
Saya
sangat bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid
Ibrahim, supaya hasil saman tersebut disalurkan kepada satu tabung
amanah yang kemudiannya boleh digunakan untuk memperbaiki sistem jalan
raya di negara kita, dan bukan ke dalam satu akaun yang mana akan
digunakan untuk disalurkan balik kepada kedua-dua syarikat pemegang
konsesi.
Saya
berpendapat niat kerajaan untuk melaksanakan AES adalah murni. Dan saya
juga berpendapat niat pihak pembangkang yang menimbulkannya sebagai
satu isu politik sebenarnya turut didasarkan dengan niat yang murni
iaitu menjadi “check and balance” kepada kerajaan.
AES tidak
wajar begitu dibenci oleh orang ramai kerana ia hanya satu alat untuk
menjaga manusia. Sedangkan puncanya datang dari diri manusia itu
sendiri tetapi, menyalahkan AES pula kalau dia yang disaman. Bunyinya
macam kelakar tapi hakikatnya memang macam itu.
Ini hanya
pandangan saya sahaja dan mungkin sesetengah fakta yang saya lontarkan
di dalam nota ini tidak begitu tepat dan mungkin juga ada pendapat saya
tidak dpersetujui oleh anda. Walau apa pun, saya memohon pencerahan
daripada anda.
Cukuplah… semoga AES benar-benar mampu membantu kita menyediakan persekitaran jalan raya yang selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan