HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

Shahizat: Kuasa Melayu 'bagai telur di hujung tanduk'


MALAYSIA KINI


 
Ketua Wanita Umno Malaysia Datuk Seri Shahrizat Jalil menegaskan Umno berdepan dengan cabaran getir untuk menjaga kuasa Melayu yang dianggapnya "bagai telur dihujung tanduk" selepas pilihan raya umum 2008.

Tegas bekas menteri kabinet itu, jika parti itu tidak bertindak mulai sekarang, kuasa Melayu "akan semakin terpinggir" kemudiannya.

"Bayangkan sahaja sekarang ini kuasa politik Melayu di Parlimen adalah amat marginal sekali. Keadaan ini perlu kita tangani dari sekarang jika kita tidak mahu menjadi pelarian dibumi sendiri.

"Pepecahan undi Melayu akan melunturkan kuasa politik Melayu yang sedia ada. Pada hari ini kuasa ekonomi bukan ditangan orang Melayu. Adakah kita sanggup hilang kuasa politik juga?" katanya.

Berucap dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno di Dewan Merdeka hari ini yang bertemakan "Anjakan Untuk Melonjakkan Kemenangan", Shahrizat berkata jika Umno lemah, maka percayalah risikonya akan dirasai oleh semua kaum.

"Jika Melayu bersatu, dan kuat dan mejadi tulang belakang kerajaan yang dipilih, apatah lagi jika majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, maka insya-Allah suamua kaum, semua lapisan masyarakat akan dapat meraih kestabilan politik negara," katanya.

Cabaran tersebut merupakan salah satu daripada lima cabaran yang digariskan oleh Shahrizat dalam ucapannya yang disampaikan kepada 979 perwakilan pergerakan itu di Dewan Merdeka PWTC pagi ini.

Selain itu, cabaran yang dihadapi selepas pilihan raya umum itu, Umno berdepan dengan hakisan sokongan dari kaum bukan Melayu kerana BN  menghadapi masalah besar dalam kawasan parlimen campuran dalam pilihan raya yang lalu.

"Bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang kita perlu mengatasi masalah ini dengan mengikat erat hubungan dan tali silaturrahim kita di antara kaum.

"Kita bukan sahaja perlu merapatkan kesenjangan antara kita dan bukan Melayu dalam semangat 1Malaysia, tetapi juga mengelakkan perpecahan di kalangan kita sesama Umno, sama ada di kalangan pemimpin sesama pemimpin, ahli dengan pemimpin, dan ahli sesama ahli.

"Ringkasnya, kita perlu bersatu bagi mengelakkan jentera parti kita lemah dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan," katanya.

Tiga cabaran lagi, yang turut digariskan dalam teks ucapannya yang diedarkan kepada media (tetapi tidak dibaca), ialah:
  • Untuk menghadapi isu-isu agama terutama di kalangan mereka yang berasa terpinggir dari arus pembangunan negara.
  • Untuk menarik pengundi muda juga pengundi Melayu supaya mendaftar dan menyokong Umno.
  • Untuk menjadikan Umno sebagai sebuah parti Melayu yang kekal relevan.

Tiada ulasan: