KL TODAY
PASIR MAS: Selepas empat hari mengambil alih semula tugas mengawal sempadan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rampasan terbesar membabitkan 398,000 pil kuda dianggarkan bernilai RM8 juta, kelmarin.
Rampasan
itu dilakukan sepasukan anggota Batalion Keempat Rejimen Sempadan (RS)
berhampiran sebuah pangkalan haram di Rantau Panjang jam 11.15 malam.
Panglima 8
Briged, Datuk Mohamad Zaki Hamzah berkata, kegiatan itu dapat dikesan
selepas dua anggota yang melakukan rondaan terserempak dengan seorang
lelaki berhampiran pangkalan haram Ibrahim Pencen, di sini.
Katanya,
lelaki itu dikatakan memikul dua kotak dan satu guni menuju ke arah
sebuah motosikal menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.
“Anggota
RS yang ternampak pergerakannya mengarahkan dia berhenti serta merta
namun lelaki terbabit secara tiba-tiba membuang barangan dibawa lalu
terjun ke dalam Sungai Golok.
“Kami
tidak memastikan sama ada lelaki terbabit penduduk tempatan atau negara
jiran kerana dia terus melarikan diri bagi mengelakkannya ditahan,”
katanya.
Hasil
pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kotak dan 49 bungkusan plastik
diisi dalam guni berkenaan yang mengandungi pil berwarna hijau dan
merah disyaki pil kuda.
Mohamad
Zaki berkata, sebanyak 398,000 pil dirampas dan semua dadah itu
dipercayai dibawa ke sini untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.
“Ini rampasan terbesar berjaya dilakukan sejak mengambil alih tugas Ops Wawasan empat hari lalu.
“Kami
turut merampas motosikal digunakan lelaki terbabit. Semua hasil
rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas
untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan