Berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ketiga-tiga sayap Umno malam ini, Muhyiddin berkata, setelah bertarung sesama sendiri, kini Pas dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional.
"Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju.
"Sehingga ke hari ini Pas dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza," kata beliau dalam ucapannya.
Katanya, sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah diingkari.
"Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional," kata beliau lagi yang memulakan ucapannya dengan menyentuh kedua-dua parti pembangkang itu.
"Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
"Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik," katanya.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Pas sebagai contoh pernah menuduh Umno sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir'aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam BN.
"Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti kom ponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka me nerima pendirian Umno dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama Umno.
"Malah, DAP menuduh Umno sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan ke bencian orang bukan Melayu terhadap Umno dan Barisan Nasional," katanya lagi.
Beliau yang menjawat jawatan Timbalan Presiden sejak 2009 menambah, "sebenarnya saudara-saudari, Pas dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka."
"Pas menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci Umno dan menyokong mereka.
"DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional supaya orang bukan Melayu menyokong mereka.
"Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan