HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

MP Bebas syor BN, Pakatan bincang tarikh PRU

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim

KUALA LUMPUR - Kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) perlu berbincang menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara serentak demi kepentingan semua pihak khususnya rakyat, demikian menurut seorang wakil rakyat Bebas.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, daripada menuding jari atau menyalahkan satu sama lain adalah lebih baik pimpinan BN dan PR membincangkan satu tarikh serentak yang sesuai

Katanya, perlu ada kesepakatan pimpinan BN dan PR dalam menentukan tarikh yang sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Jelas beliau, pendirian itu boleh dicapai menerusi perbincangan dan perundingan oleh kepimpinan BN dan PR.

"Pakatan boleh mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak)... dari tuding BN tidak mahu mengadakan PRU serentak, dan mereka kata tidak akan ikut (tarikh pembubaran) jika Datuk Seri membubarkan Parlimen lebih awal.

"Jadi, saya rasa kedua-dua pihak boleh berbincang satu tarikh yang sesuai... ini boleh dibincang," kata beliau kepada Sinar Harian Online dalam temu bual Bersama Ahli Parlimen Penggal Pertama di bangunan Parlimen, semalam.

Ditanya mengenai tarikh yang sesuai, Zahrain yang memenangi kerusi Bayan Baru pada Pilihan Raya Umum 2008 atas tiket PKR berkata, "tarikhnya... satu tarikh yang sesuai bagi rakyat."

"Kita tidak mahu rakyat turun mengundi dua kali. Kita kena jaga kepentingan rakyat," kata beliau merujuk kepada laporan bahawa PR khususnya Kerajaan Negeri Selangor tidak akan mengadakan pilihan raya umum negeri serentak jika Parlimen dibubarkan lebih awal.

Beliau keluar PKR pada awal 2010.

Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dengan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong manakala Menteri Besar atau Ketua Menteri boleh memilih tarikh yang sesuai membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing.

Perkara ini mendapat perhatian memandangkan pertama kali lebih daripada satu kerajaan negeri berada dalam tangan pembangkang.

PR, yang dianggotai Pas, PKR dan DAP mentadbir Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Lewat petang semalam, Sinar Harian Online membawa laporan PRU13 tidak akan diadakan bulan depan. Perkara itu, menurut beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan Umno, dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Taklimat Presiden petang semalam.

Mandat Kerajaan Pusat berakhir 28 April depan manakala kerajaan-kerajaan negeri pula secara berperingkat antara Mei dan Jun depan.

Ditanya mengenai adanya kelebihan dan kekurangan jika tidak diadakan PRU serentak, Zahrain yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas 'mesra BN' berkata, "ya memang ada kelebihan dan kekurangan."

"Tetapi kita kena melihat kepentingan rakyat... faktor masa dan kos mengendalikan pilihan raya," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya berharap PRU13 akan diadakan serentak.

Tiada ulasan: