berpadanan dengan ini adalah Perhimpunan Agung Umno yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung.
Biar penggunaan bahasanya lebih relaks dan bersahaja, mesej Najib kali ini lebih jelas berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Semboyan kini sedang berkumandang, genderang juga semakin bergema, kini masanya sudah tiba menyusun langkah berjuang di medan pilihan raya, kata Najib.
Luka 2008 katanya, harus diubat kali ini. Umno tidak ada pilihan lain.
"Pilihan raya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihan raya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
"Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita," kata Najib.
Justeru kata beliau, rakyat di negara ini tidak perlu melakukan uji kaji atau bereksperimen dengan memberi ruang kepada pembangang memerintah kerana ia umpama "mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri."
Cukuplah pilihan raya lalu menyaksikan beberapa negeri tumbang ke tangan pembangkang.
Nescaya ia menjadi mimpi paling ngeri yang perlu ditenangkan kembali emosinya oleh Najib.
Jentera kali ini, bala tentera yang turun ke medan juang dipersiapkan dengan pelbagai senjata dan perisai perang paling canggih.
Dalam mendekati realiti baru landskap politik negara, pendekatan yang digunakan mestilah penuh hikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan tipu daya dan helah politik yang menjengkelkan.
Perhimpunan ini lah kesempatan terbaik untuk Najib bagi menjawab, menolak, menangkis mahu pun menelanjangkan seteru politik kerajaan yang kerap kali menggunakan politik perkauman sempit, adu domba dan caci nista demi cita-cita besar mereka menguburkan kerajaan Umno-BN.
Tidak dinafikan betapa pembangkang begitu serius dalam hal ini.
Jika tidak, tak mungkin Pas sanggup mencemarkan gelanggang muktamar tahunannya yang dibuat beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Umno dengan episod doa-mendoakan kehancuran sesama umat Muhammad s.a.w.
"Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada Umno. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
"Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan
kejatuhan orang lain," kata Najib.
Justeru, perhimpunan kali ini terpaksa digunakan sebaiknya oleh Najib, sebenarnya bukan semata-mata mahu mempertahankan Umno tetapi lebih kepada penjelasan di mana peranan Umno sebagai sebuah parti yang mentadbir kerajaan dalam memartabatkan Islam di negara ini.
"Apakah tidak mereka lihat bahawa selama berpuluh-puluh tahun sejak merdeka, syiar Islam yang murni,begitu meluas di negara ini," ujar Najib.
Perdana Menteri juga menolak sekeras-kerasnya fahaman yang dibawa oleh segelintir pemimpin dalam perikatan pembangkang.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme," kata Najib.
Beliu turut membidas pembangkang yang hanya tahu mencari salah kerajaan, namun tidak pula mereka mencermin diri sendiri.
Pembangkang juga bukan sempurna. Dalam melabel orang itu salah, orang ini rasuah, orang itu kroni, orang ini amal nepotisme, mereka juga tidak terkecuali. "Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
"Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden," sindir Najib.
Namun pembangkang tidak pernah ambil pusing tentang itu. Mungkin benar kata pepatah Melayu, kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak, atau sebenarnya sengaja buat-buat tak nampak.
Menggunakan taktik itulah beberapa isu dalam pakatan pembangkang berjaya dilenyapkan.
Ditambah pula dengan pelbagai kritikan, cacian dan hinaan ke atas kerajaan yang bertali arus bagi menutup kesalahan mereka, pembangkang boleh dikatakan berjaya mengalihkan perhatian rakyat daripada isu parti itu.
Namun kata Najib, walau apa jua cacian, mahu pun tuduhan ke atas kerajaan semasa yang tidak semestinya benar, pengundi tidak wajar menghukum parti itu atas kesilapan dan kelemahan yang wujud dalam PRU13.
"Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung
atau tersalah.
"Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan," kata Najib.
Paling penting katanya, Barisan Nasional sebagai parti utama di negara ini tidak akan membenarkan negara ini hancur dan runtuh hanya disebabkan tindak tanduk pihak yang menabur fitnah.
"Sudah barang pasti Umno tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.
"Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri," ujar Najib dalam ucapannya yang mengambil masa hampir 90 minit.
Andai hendak dikatakan ucapan dasar Najib melengkapkan misi menyerang dan mendedahkan imej sebenar Pas seperti yang disarankannya kepada ahli Umno, boleh dikatakan pemimpin itu mengambil pendekatan membidas Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.
Jika Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan hampir 60 peratus ruang dalam ucapannya menghentam Pas dengan lebih 30 kali menyebut nama Pas, Najib pula hanya beberapa kali menyebut nama parti Islam kedua terbesar itu.
Secara keseluruhannya, ucapan Najib tahun ini, jauh berbeza dengan tahun lalu.
Kali ini, ia lebih tertumpu kepada menyiapkan jentera Umno berhadapan dengan ibu segala pilihan raya yang akan diadakan tahun hadapan.
Mesejnya lebih kepada peringatan dan penjelasan mengapa Umno-Barisan Nasional perlu menjadi pilihan rakyat, seterusnya diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan