Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan terus desak kerajaan untuk panggil pemantau asing bagi memastikan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) telus dan adil.
“Kita akan terus tekan dan tuntut perkara ini, dan akan ada tindakan susulan,” kata Ketua Sekretariat Pilihan Raya KEADILAN, Zakaria Abdul Hamid.
Beliau mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima pemantau asing bagi membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telus dan tidak menipu semasa PRU nanti.
Semalam, SPR dalam pengumumannya menyatakan telah mengenalpasti 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk menjadi pemantau pada PRU 13.
“Najib seolah-olah mengakui wujudnya kepincangan dalam SPR. Sebab itu beliau tolak kerana takut tembelangnya pecah jika ada pemerhati dari luar,” kata Zakaria.
Menurutnya, banyak bukti diserahkan kepada SPR berhubung penambahan pengundi di seluruh negara.
“Kepincangan seperti itu yang mereka tak mahu pemerhati luar nampak,” sambung beliau.
“Kita yakin jika tiada penipuan, kita boleh menang. Jika Umno menang sekalipun, kita tak mahu mereka menang dengan penipuan,” tegasnya.
Sebelum ini, Senator bebas Australia, Nick Xenophon mempersoal tindakan kerajaan Malaysia yang takut dengan permintaan pemimpin pembangkang untuk mempelawa pemerhati luar bagi memantau proses pilihan raya.
Minggu lalu, Xenophon menyerahkan surat peribadi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri Luar Australia, Bob Carr berhubung permintaan sebagai pemerhati bebas pada PRU 13.
Media kawalan Umno menggembar gemburkan tohmahan kononnya Australia mahu campur tangan dalam urusan pentadbiran Malaysia sedangkan pemerhati bebas bagi sesebuah pilihan raya amalan biasa mana-mana negara.
Ia berikutan Perdana Menteri enggan memanggil pemantau bebas dari luar negara sedangkan ratusan ribu rakyat negara ini turun ke jalan raya menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
Sebaliknya, Najib secara sembrono menuduh permintaan Anwar untuk mempelawa pemerhati bebas semasa pilihan raya sebagai meminta Australia campur tangan dalam sistem pentadbiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan