HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

Muhyiddin: 'Jangan biar Pas bohong kali ke-13'

Wartawan Sinar Harian

Perhimpunan Agung Umno 2012

 KUALA LUMPUR - Umno menasihatkan Pas supaya "jangan bermimpi di siang hari" dapat menegakkan Islam jika terus kekal dalam Pakatan Rakyat (PR) dengan hanya bertanding sejumlah kerusi yang kecil.

Memulakan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ketiga-tiga sayap Umno, Tan Sri Muhyiddin berkata, "mungkin Pas akan mengatakan kepada kita tidak  mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana  nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong  mereka untuk menegakkan Islam."

"Janganlah bermimpi di  siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api," kata Timbalan Presiden Umno malam ini.

Katanya, "takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis,  takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha Pas untuk menegakkan Islam."

"Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihan raya, 12 kali Pas berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam," kata Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya.

Mengambil nada yang sama seperti yang disaksikan tahun lalu, Muhyiddin berkata, "janganlah kita biarkan Pas berbohong lagi untuk kali  ke-13."

Katanya, dengan kedudukan Pas yang lemah, agak pelik bagi  kita apabila dalam Muktamar Pas baru-baru ini, ada  perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden mereka  sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang.

"Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju  Presiden Pas menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya,  bolehkah Presiden Pas menjadi Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu  sekali jawapannya tidak boleh," katanya.

Beliau seterusnya menyoal, jika tidak boleh, dan sudah pasti memang ia tidak boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu.

"Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi Pas tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang.

"Mereka tidak percaya  kepada (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada (Penasihat DAP) Lim Kit  Siang. Mereka juga tidak percaya kepada (Pengerusi DAP) Karpal Singh.

"Mereka langsung tidak percaya kepada (Ketua Pembangkang) Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi Pas dalam membentuk  kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR," katanya lagi.

Muhyiddin menambah, konsep berkongsi kuasa  tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang.

Katanya, mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihan raya yang lalu untuk memerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa.

"Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling  mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada  DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP  dan PKR tidak percaya kepada Pas," kata beliau yang juga Menteri Pelajaran.

Tiada ulasan: