Wartawan Buletin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal YB Dr Alias Razak berkata, ramai rakyat yang 'menjadi mangsa' mengalami kesusahan hidup terpaksa mencari tempat kediaman baru apabila tanah dan rumah mereka 'disodok' untuk dibangunkan.
"Kita harap, cukuplah.....sudah-sudahlah, kerajaan menzalimi rakyat, kalau ada mana-mana projek pembangunan yang membabitkan tanah tempat tinggal rakyat, anak Terengganu,
"berilah ganti tapak lain untuk mereka menyambung kehidupan, kerajaan tak rugi apa-apa,"ujarnya yang ditemui ketika menghadiri program berkhatan tahunan DUN Bukit Tunggal, di Pusat Khidmat DUN semalam, Isnin 26 November.
[Gambar kanan - Dr Alias 'turun tangan' membantu menenangkan seorang kanak-kanak, dalam program berkahatan tahunan DUN Bukit Tunggal]
Oleh itu, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan tapak rumah kepada penduduk Pulau Sekati yang terlibat dengan pembinaan jalan dan jambatan ketiga merentasi Sungai Nerus yang akan dibina dalam masa terdekat.
Beliau kesal sikap dan tindakan Umno dan BN yang seolah-olah 'berkira' dan 'berniaga' soal tanah dengan rakyat, yang kurang berkemampuan sebaliknya 'begitu pemurah' dengan wakil-wakil rakyat Umno-BN sendiri yang sudah kaya raya.
"kerajaan tidak perlulah berkira sangat, macam berniaga untung rugi pula dengan rakyat yang kurang berkemampuan......berilah mereka (tanah),
"Kerajaan boleh beri kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin Umno 'yang kaya' tanah yang baik dan mahal, mengapa kerajaan tak beri kepada 'rakyat marhaen',"jelasnya.
Menurutnya, di daerah Besut ada wakil rakyat Umno berstatus bekas Timbalan Menteri yang berkemampuan untuk membeli tanah-tanah tetapi kerajaan anugerahkan tanah.
Sebaliknya, pada masa yang sama, kata beliau, tanah yang telah diberikan di Kampung Tok Sabah, Kuala Besut, di rampas dan rumah yang telah didirikan rakyat dengan hasil titik peluh sendiri di robohkan.
Bercakap tentang program berkhatan tahunan DUN tersebut, Dr Alias mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang memberikan kerjasama dan sokongan menjayakan program itu.
Katanya, program anjuran 'Rakan Khidmat' DUN Bukit Tunggal itu telah menerima 100 penyertaan, meningkat seramai 20 orang berbanding program yang sama yang dianjurkan pada tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan