Seorang
ibu ditawan selama empat jam dan semua barang kemasnya dirampas
selepas dia ‘digadai’ anak lelakinya yang terdesak untuk melepaskan
diri daripada cengkaman ceti haram atau ah long.
Ibu berusia 63 tahun
itu yang dikenali sebagai Zabedah berkata, dia mengalami pengalaman
menakutkan sepanjang ditahan sekumpulan tiga lelaki yang datang ke
rumahnya di Jinjang, di sini, jam 3 petang, Sabtu lalu.
Menurutnya,
sebelum kedatangan kumpulan lelaki itu, dia menerima panggilan telefon
daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memaklumkan anak lelakinya
berusia 20-an berada dalam tahanan mereka.
“Apabila
saya tanya kenapa anak saya ditahan, lelaki itu beritahu anak saya
meminjam wang dengan mereka dan masih ada baki hutang RM10,000 yang
belum dibayar.
“Luluh
hati saya mendengar kata-katanya. Bila saya merayu supaya anak
dibebaskan lelaki itu beritahu dia hanya akan berbuat demikian jika
mendapat semula wang RM10,000 itu.
“Pada masa
sama, dia juga beritahu mahu datang ke rumah saya untuk berbincang
perkara itu lebih lanjut dan saya setuju menerima kedatangannya,”
katanya.
Zabedah
berkata, tidak lama kemudian dia dikunjungi tiga lelaki berusia 30-an,
namun mereka tidak mengadakan perbincangan sebaliknya meminta dia
mengikut mereka.
“Saya dibawa ke sebuah rumah kedai yang saya tak tahu di mana. Saya
bertanya di mana anak dan mereka memberitahu anak saya sudah
dibebaskan, saya pula yang mereka tahan.
“Menurut
mereka, ini kerana anak sudah membuat perjanjian untuk menukar saya
dengan dia. Menitis air mata mendengar kata-kata itu tak sangka anak
saya sanggup berduat demikian,” katanya.
Menurutnya, selepas merayu dibebaskan mereka bersetuju dengan syarat dia menyerahkan semua barang kemas dipakainya.
“Saya
ditahan empat jam dan terpaksa menyerahkan semua rantai, gelang dan
cincin emas yang semuanya bernilai RM5,000 sebelum mereka membebaskan
saya,” katanya.
Ditanya
sama ada dia disakiti atau dipukul kumpulan lelaki itu, Zabedah
berkata, dia tidak diapa-apakan, tetapi digertak dan diugut untuk
dicederakan.
Menurutnya,
sebelum dibebaskan, kumpulan lelaki itu turut memberitahu akan terus
mencarinya di rumah kerana dia perlu menjelaskan baki wang dipinjam
anaknya yang masih tertunggak.
Warga emas itu berkata, sejak kejadian itu anak lelakinya tidak pulang ke rumah dan dia juga gagal menghubunginya.
“Biar apa
pun salahnya, saya sudah maafkannya. Saya berharap dia segera pulang ke
rumah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini,
berikutan bimbang dengan ancaman kumpulan ah long itu.
Sementara
itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika
dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan
lanjut masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan