HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2012

Perubahan – antara kata-kata dan amalan

Oleh Arjuna Dharmawijaya

Perubahan tidak datang mutlak. Perubahan perlukan daya tahan untuk membangun gagasan yang kuat akarnya, supaya idea sebagai perlawanan dapat mencabar segenap ruang yang ada. Barangkali, itu yang saya dapat belajar daripada kehidupan. Memang enak untuk lafazkan kata-kata, tapi saya percaya ianya tidak semudah itu. Jadi, pertanyaan yang membibir di benak hati ini – apakah Malaysia sebagai negara, bangsa dan masyarakat sudah bersedia ke arah perubahan?

Rata-rata, kini semakin galak menyeru kita (sebagai sebuah Malaysia) perlu menuju perubahan. Dan, apa yang saya tangkap daripada pertanyaan mereka-mereka ini adalah perubahan yang ditanggapi sebagai ‘peralihan politik’ daripada A kepada B, daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Ini persepsi paling maklum untuk dibaca. Sejauh mana benar atau bathilnya persepsi ini, biarlah ia kekal sebagai abstrak dan subjektif.

Saya memetik kata-kata seorang penulis Inggeris George Orwell yang pernah berkata ‘to make lies sound truthful and murder respectable, and to give an appearance of solidity to pure wind.’ Ini kerisauan saya yang paling besar sekiranya perubahan yang dilaung-laungkan setiap detik masa dan ketika, hanya ditanggapi pada pemahaman yang paling cetek. Dan, dengan kata lain – ‘ular tetap menjadi ular, cuma sekadar bersalin kulit’.

Kebudayaan baharu?

Perubahan – pada faham yang paling sebenar setidaknya mengajak kita untuk bersedia ke arah kebudayaan yang baru. Maka, lanjut daripada pernyataan ini – kebudayaan apa yang baharu?

Kebudayaan baharu yang mungkin pada pandangan asas dan tohor dalam cerminan saya adalah kesediaan untuk setiap daripada kita mencuba  untuk mengangkat idealisme pemikiran yang sihat. Manapun, kebudayaan ini harus menjadi cabaran untuk setiap inci masyarakat mencabar akal mereka untuk menyelesaikan urusan harian kita mentadbir hidup. Dan, bagi saya inilah aras perubahan yang sebenar.

Perubahan ke arah kebudayaan baru melengkapi segala hal yang bersentuhan dengan kita. Maka, perkara yang paling dekat tentulah sahaja kehidupan berpolitik. Tidak ada di antara kita yang terkecuali daripada tindakan politik. Malah, dengan menyatakan hasrat untuk tidak melibatkan diri dalam dunia ‘kehidupan-politik’ adalah suatu tindakan politik. Jadi, perubahan terdekat untuk kita langkaukan buat masa ini adalah pemahaman kita pada politik yang sihat, yang mencabar pemikiran dan bebas untuk mengemukakan pandangan.

Pra-syarat perubahan

Sebelum menuju perubahan, kita wajib menggali pemahaman politik yang paling subur untuk kita gagaskan. Pada saya – makna politik yang paling mudah untuk diungkapkan adalah bagaimana kita dapat mengendalikan urusan harian – seperti membayar bil, membuang sampah  dan membeli keperluan dapur di pasaraya. Itu mungkin maksud yang paling mudah untuk difahami semua.

Politik jugalah yang menentukan bagaimana urusan-urusan di atas dikendalikan pada ruang dan struktur yang lebih kompleks.  Tetapi, urusan di atas memerlukan kita (sebagai masyarakat) untuk terlibat bersama-sama. Bagi saya, itu makna politik di dalam era ‘demokrasi’ ini.

Dan dengan pemahaman sedemikian, setidaknya kita mampu mencerna kata-kata perubahan ke dalam bentuk tindakan harian kita. Saya beri contoh mudah. Misalnya, urusan membuang sampah di kawasan perumahan. Tentu sahaja – ada yang memilih majlis tempatan untuk mengupah lori swasta untuk mengutip sisa-sisa sampah dan ada pula yang lebih selesa untuk mengurus sisa sampah mereka sendiri. Jadi, bagaimana misal ini dapat diterjemahkan sebagai perubahan politik?

Jika sebelum ini, kita (sebagai rakyat dan masyarakat) punya hak untuk memilih untuk menguruskan sampah sendiri, bagaimana pula sekiranya ruang pelupusan sampah menjadi semakin terbatas dan kita memerlukan rancangan strategik untuk menguruskan tapak pelupusan sampah secara berkesan dan bersama.

Di sinilah, kita memerlukan keputusan politik yang baik. Sekiranya, kita salah dalam percaturan yang lampau, tentu kita memerlukan perangkaan yang baharu supaya tidak pula timbul masalah-masalah yang lain di masa hadapan.

Dan bagi saya, perubahan bermula daripada kesedaran kita di dalam memerhatikan kehidupan seharian kita secara bertanggungjawab. Dan di situlah mutlaknya perubahan yang menyenangkan kita semua.

Kesedaran secara menyuluruh

Saya tidak percaya kata-kata perubahan untuk datang sekiranya kesedaran tidak dapat disebarkan secara menyeluruh. Malah, kata-kata perubahan tidaklah semudah meratib kata-kata pemimpin di arena ceramah-ceramah yang penuh dengan bahasa-bahasa mengagumkan tanpa pula memastikan apakah setiap dari bahagian diri kita semua apakah kita sebenarnya sudah tampil dengan kesedaran yang baru.

Dan, di antara itu, kita harus saling berusaha menambah keyakinan hari demi hari bagi memastikan perubahan terus berlabuh dengan jayanya.

Sementara itu, saya kini masih memikirkan – Apakah kita sebagai rakyat Malaysia masih ada harapan untuk berubah? Maksudnya di sini, selepas kerajaan baru Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menggantikan Barisan Nasional, apakah peranan kita sebagai individu serta masyarakat Malaysia mahu menentukan hala tuju dan masa depan negara kita sendiri?

Atau kita hanya sekadar mahu kerajaan baru berfikir segala-galanya untuk kita sebagaimana yang telah kita biarkan pemerintah sekarang berbuat begitu sejak lebih setengah abad? – Roketkini.com

Tiada ulasan: