HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2012

Umno melihat Pakatan sebagai pencabar serius, kata penganalisis


Perdana Menteri Najib Razak kelihatan semasa berucap semasa upacara pembukaan Perhimpunan Agong Umno di Kuala Lumpur 29 November, 2012. — Gambar Reuters
 
KUALA LUMPUR — Fokus Umno kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam perhimpunan agung sedang berlangsung menunjukkan parti nasionalis Melayu itu melihat pakatan pembangkang sebagai pencabar kuat, mencabar dominasi berterusan kekuasaan mereka, kata penganalisis.

Ramai pemimpin Umno, termasuk presiden parti Datuk Seri Najib Razak, memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya jangan mengundi PR disebabkan kekurangan perpaduan dan pengurusan ekonomi yang lemah.

Ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan menegaskan perbahasan dan sentimen dalam Umno adalah refleksi kepada politik Malaysia.

“Saya fikir ini adalah satu petunjuk jelas mereka sedang menyiapkan diri untuk pilihan raya. Malangnya di Malaysia, pilihanraya adalah sentiasa mengenai kelemahan pihak lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, Umno bermain permainan sama dengan PR yang seringkali menyerang gabungan Barisan Nasional (BN) dan Umno, tetapi memberikan sedikit cadangan polisi.

Walau bagaimanapun, Wan Saiful berkata terdapat kekurangan idea dasar ditawarkan oleh Umno dalam perhimpunan agung ini, “Saya benar-benar berharap untuk melihat beberapa idea-idea baru.”

Beliau berkata kekerapan Umno bercakap tentang PR menunjukkan ia takut dengan musuh politiknya itu.

“Lebih banyak mereka bercakap tentang musuh, menunjukkan mereka takut kepada musuh itu ... mereka sebenarnya merasakan Pakatan adalah ancaman, “kata Wan Saiful.

Beliau bersetuju Najib kurang mengkritik PR dalam ucapan dasar semalam, tetapi menambah sayap parti tersebut masih kelihatan defensif.

“Nada masih mengenai 'lebih baik kita bangkit sekarang jika tidak kita mungkin kehilangan kuasa'“ katanya, merujuk kepada perbahasan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya (UM) berkata Umno memberi tumpuan kepada persaingan dengan PR kerana mahu mengekalkan statusnya sebagai parti politik utama dan “kuasa muktamad” di negara ini.

“Itulah sebabnya ia melihat PR sebagai pesaing serius. Sekarang buat pertama kalinya, mereka perlu memastikan Umno kekal kuat dan berkuasa,“ katanya, menunjukkan kemungkinan “yang amat nyata” PR memusnahkan dominasi Umno “terbukti dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.”

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata adalah “biasa” bagi Umno mengkritik PR, tetapi menambah adalah lebih baik kedua-duanya bersaing soal dasar.

“Saya fikir ia adalah perkara biasa mengkritik Pakatan kerana Pakatan adalah pesaing mereka,” katanya, kemudian menambah “tetapi saya fikir lebih baik untuk mengkritik dasar dan bukannya peribadi.”

Beliau berkata BN kelihatan kekurangan idea-idea baru dan meletakkan terlalu banyak tumpuan kepada asas sokongan tradisional luar bandar.

Tetapi kedua-dua Azizuddin dan Mohamad menyatakan ucapan Najib tidak hanya terhad kepada serangan ke atas PR, tetapi juga menyentuh isu-isu lain seperti dasar transformasi untuk negara.

“Sudah tentu, untuk mengatakan Umno tidak memberi tumpuan kepada perkara-perkara lain adalah tidak betul,” kata Mohamad, sambil menambah topik lain seperti Pencapaian Umno dan kejayaan turut disebut.

Mohamad juga berkata Umno “tidak bertindak balas seperti” serangan PR, kerana parti itu mahu untuk memperojekkan imej berbeza.

“Meraka mahu menunjukkan perbezaan dari PR, itulah sebabnya walaupun terdapat serangan kepada PR, mereka tidak pergi ke tahap yang sama, “katanya.

Perwakilan Umno menyokong pandangan Mohamad dengan berkata, parti itu tidak akan menggunakan bahasa kasar apabila berurusan dengan pembangkang.

“Umno tidak gunakan bahasa keras, ini bukan budaya Umno. Ini budaya PAS dan PKR. Kita tidak gunakan budaya marah. Yang penting negara kita maju, semua pun gembira.”

“Kami akan berubah dan generasi muda akan kembali kepada Umno,” kata timbalan ketua bahagian Ampang, Aziz Mat Derus kepada The Malaysian Insider semalam.

Ketua cawangan Kuala Muda Abdul Wahid Abdullah berkata parti itu menumpukan kepada persiapan pilihan raya, menekankan bahawa perpaduan di kalangan ahli-ahli parti adalah penting.

“Kita tidak menggunakan bahasa keras, macam Datuk Seri (Najib Razak) sendiri pun banyak meminta maaf kepada rakyat atas apa kesilapan yang kita lakukan,dan kita harap supaya diberi peluang kedua kepada Umno.”

“Kami sudah 93 peratus bersiap sedia, dan yang penting kena kerja kuat bagi memastikan kemenangan untuk Umno.Tak kisah siapa jadi calon, kami akan kerja keras,” katanya.

PRU ke 13 akan datang dijangka menyaksikan pertembungan sengit diantara BN dan PR apabila mandat kerajaan persekutuan tamat pada akhir bulan April tahun hadapan.

Tiada ulasan: