HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

SAMM bukukan maklumat Scorpene, mudah difahami

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) komited untuk terus 'mempermudah' isu rasuah pembelian kapal selam Scorpene agar difahami masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, sebelum ini kes yang sedang dibicara di Mahkamah Perancis ini dilihat terlalu teknikal dan sukar untuk diterangkan kepada masyarakat.

Hal ini katanya menyebabkan masyarakat tidak berminat untuk mengambil tahu kes ini sedangkan katanya, kes ini merupakan 'bapa' kepada semua kes jenayah di Malaysia.

"Sebelum ini masyarakat tidak berminat untuk mengetahui perkembangan ini kerana dilihat terlalu eksklusif dan sukar difahami.

"Oleh itu menjadi komitmen SAMM untuk turun kepada rakyat, permudahkan isu supaya ia difahami di semua peringkat kerana ini melibatkan Kerajaan Malaysia, rasuah, pembunuhan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa. Selesai isu Scorpene ini, banyak perkara boleh selesai," kata beliau kepada Harakahdaily dalam program tayangan secara langsung taklimat Scorpene di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) semalam.

Taklimat yang diadakan di Changi, Singapura itu disampaikan peguam, Apolene Cagnat  yang juga rakan kongsi peguam William Bourdon yang mewakili Suara rakyat Malaysia (Suaram).

Hadir sama mendengar wakil kedutaan Malaysia di Singapura. Cagnat ditemani peguam Suaram, Fadiah Nadwa Fikri.

Taklimat dihadiri ahli-ahli Parlimen daripada PAS, PKR dan DAP, mewakili Pakatan Rakyat.

Taklimat tersebut diubah ke Singapura berikutan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikr Amin Mulia menolak permintaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus melarang taklimat itu diadakan di Parlimen Malaysia.

Sebelum ini Bourdon tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

SAMM dengan kerjasama Suaram sedang mengadakan siri jelajah ke seluruh Malaysia bagi memberi penerangan kepada masyarakat berhubung kes tersebut.

Badrul Hisham juga berkata, SAMM akan melancarkan buku bertajuk ‘Antara Dua Razak, Dua Scorpene dan Satu Mongolia’ pada bulan hadapan.

"Kita sudah kenal pasti semua aspek perundangan dalam kes ini dan kita akan perturunkan semua maklumat ke dalam booklet bagi memudahkan orang faham," katanya

Tiada ulasan: