HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2012

Kenyataan ugutan Shahrizat bayang ketakutan

Harakahdaily,


TEMERLOH: PAS menyifatkan kenyataan berbentuk ugutan dan hasutan oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang membayangkan tragedi 13 Mei 1969 akan berulang jika Umno hilang kuasa pada PRU13 sebagai ketakutan yang jelas di pihak Umno untuk berdepan dengan pilihanraya.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata kenyataan Shahrizat jelas berupa ugutan kepada rakyat Malaysia dan meminta polis bertindak segera.

“Dan dalam sistem demokrasi berparlimen, kenyataan tersebut adalah sangat tidak wajar,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menyangkal bahawa perubahan kuasa politik dan kejatuhan Umno di PRU13 akan menggugat kedudukan orang Melayu di Malaysia.

“Ini kerana yang akan menggantikan Umno ialah PAS yang juga terdiri dari orang Islam yang kebanyakannya Melayu. Kenyataan beliau jelas menggambarkan ketakutan Umno yang berhadapan dengan PRU akan datang,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Kenyataan ancaman Tragedi 13 Mei akan berulang itu dimuatkan dalam teks ucapan Shahrizat di Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Merdeka semalam.

Dalam teks itu, bekas menteri yang turut terpalit skandal RM250 juta NFC itu berkata, jika Umno tidak lagi berada ditampuk kuasa, kestabilan politik negara "akan goyang" dan pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara ini tidak akan senang.

Keadaan itu ujarnya dibimbangi akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar turut menyelar kenyataan Shahrizat yang disifatkkannya 'bahaya' dan 'boleh mencetus huru-hara'.


(Shahrizat dalam Himpunan Agung Umno semalam. Foto The Star)

"Kenyataan itu sebenarnya berbaur ancaman seolah-olah mereka akan berusaha mencetus huru-hara jika Umno kalah pilihan raya.

"Mereka cuba takutkan rakyat bahawa tragedi 13 Mei akan berulang jika Pakatan ambil alih kuasa," katanya.

Ahli parlimen Pokok Sena itu turut meminta PAS di semua peringkat membuat laporan polis berhubung kenyataan shahrizat yang disifatkan 'bahaya' itu.

"Oleh yang demikian saya mewakili pimpinan PAS mengarahkan semua peringkat parti untuk membuat laporan polis di seluruh negara atas kenyataan Shahrizat itu.

"Kita minta pihak polis mengambil tindakan segera sebagai tindakan mencegah, sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku," katanya.

Tiada ulasan: