HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

Konsortium Transnasional mahu tambang bas dinaik 30%

SINAR HARIAN

Mohd Nadzmi Mohd Salleh
Mohd Nadzmi Mohd Salleh 
 
ROMPIN - Konsortium Transnasional Berhad (KTB) berharap kerajaan menstruktur semula tambang pengangkutan awam bagi mengelak syarikat pengangkutan awam mengalami kerugian dan menggulung tikar.
  
Pengarah merangkap Pengarah Urusan KTB, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berkata, kadar tambang sedia ada tidak dapat menampung kos pengendalian dan ia perlu dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sekarang.
  
"Kali terakhir tambang bas dinaikkan adalah pada 2008 dan semenjak itu kos operasi pengedalian pengangkutan awam terutama bagi bas ekspress telah meningkat sebanyak 27 peratus.
  
"Kita juga mahu kadar tambang bas diseragamkan sama dengan kadar di Sabah dan Sarawak berikutan kadar tambang bas di Semenanjung adalah 70 peratus kurang daripada di sana (Sabah dan Sarawak), walaupun kos pengendalian adalah sama," katanya kepada pemberita pada majlis Malam Seribu Bakti 2012 bagi menghargai kakitangan KTB yang cemerlang di sini malam tadi.
  
Turut hadir Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim.
  
Mohd Nadzmi berkata kerajaan perlu mengambil perhatian mengenai keperluan industri pengangkutan awam seperti menaikkan harga tambang atau terhadap syarikat pengangkutan awam yang tidak mampu beroperasi berikutan kos pengendalian yang semakin meningkat saban tahun.
  
"Mungkin tidak perlu lagi dikawal harga tambang sebab kita tidak mengalami masalah monopoli dalam industri ini. Ini kerana di negara ini kita mempunyai kira-kira 260 syarikat pengangkutan awam yang masih beroperasi dan isu kartel tidak timbul di sini," katanya.
  
Dalam pada itu katanya, KTB dalam usaha menyerap kerugian ekoran harga tambang yang tidak naik dengan meningkat kapasiti perkhidmatan termasuk menyediakan lebih banyak bas ekspress dua tingkat dan mengurangkan jangka hayat perkhidmatan bas ekspres miliknya.
  
"Peningkatan kapasiti berjaya mengurangkan kos pengendalian di mana kita hanya perlu seorang pemandu tetapi boleh membawa penumpang yang ramai.
  
"Manakala jangka hayat perkhidmatan bas ekspres kita hadkan antara enam hingga tujuh tahun kerana jika lebih dari itu kos penyelenggaraan bas akan semakin meningkat," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: