HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 November 2012

Desak SPRM siasat kekayaan anak Taib Mahmud – Baru Bian

KEADILAN DAILY

SARAWAK: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menjalankan siasatan segera terhadap kemewahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud ekoran pendedahan anak lelaki Ketua Menteri Sarawak itu berbelanja tiga suka juta ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, perbelanjaan mewah Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menggunakan kad caj itu dikhuatiri hasil kemewahan luar biasa keluarga Taib melalui rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menurutnya, banyak laporan dibuat tetapi pihak berkuasa kerajaan termasuk polis dan SPRM hingga kini enggan menyiasat, malah berdolak-dalik.

 “Selaku penjawat awam, mana mungkin beliau meraih kekayaan luar biasa sebegitu. Dengan pendedahan bukti tersebut di mahkamah, kita desak agar siasatan dibuat segera,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan itu.

“Kegagalan SPRM mengambil tindakan menguatkan lagi dakwaan keluarga Taib mengamal rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Pegawai Perkhidmatan Pelanggan Maybank, Musinah Manap, 47, mengesahkan di mahkamah bahawa Bekir merupakan pemegang kad caj American Express Platinum dengan nombor 3762-490572-25004 yang tidak ditetapkan had perbelanjaan.

Pegawai dari Menara Maybank Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur itu mendedahkan jumlah yang ditanggung Bekir sepanjang tempoh berkenaan, yang digariskan bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid semasa pendengaran sebelum ini.

Penyata dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kad caj American Express dari Maybank itu menunjukkan perbelanjaan berjumlah RM782,520.55.

Ia termasuk di kedai mewah seperti Harrods, kedai Ferrari di London serta perjalanan ke Dusseldorf di Jerman dan Perancis.

Pada 2 Oktober lalu, Shahnaz memberi keterangan mengenai kira-kira RM700 juta dalam akaun asing atas nama Bekir di Amerika Syarikat, Caribbean, Switzerland dan Hong Kong.

Mengikut keterangan Shahnaz, aset Bekir dikatakan bernilai lebih RM1 bilion.

Tiada ulasan: