HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 November 2012

AES yang dikabusi kontroversi

 

 
DETIK DAILY
 
Ramai masih gagal memahami mengapa Pakatan Rakyat membantah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilingkari kontroversi itu. Ada yang menuduh kononnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang menangguhkan pelaksanaan AES sebagai tidak peka kepada nyawa orang awam yang seringkali menjadi mangsa pemandu yang tidak berhemah.

Perlu difahami bahawa penentangan terhadap AES bukanlah dibuat atas sifatnya sebagai perakam kesalahan lalulintas. Apa yang dibantah adalah tindakan menjadikan kesalahan lalulintas sebagai perniagaan sekali gus menjadikan pelaksanaan AES menyimpang daripada tujuan sebenar ianya dilaksanakan.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan juga dilaporkan tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan pusat menswastakan penguatkuasaan undang-undang kerana ia akan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan hanya mahu membuat keuntungan ke atas rakyat.

Motif keuntungan dalam perjanjian konsesi kepada dua syarikat swasta yang dilantik untuk memasang dan menguruskan kamera berkelajuan tinggi itu dalam masa lima tahun, menjelaskan penentangan umum terhadap AES.

Terdapat banyak kelemahan dalam pelaksanaan AES termasuk keuntungan minimum 17 peratus kepada dua pemegang konsesi, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap. Dua syarikat kroni BN ini dilapor memerlukan 2.72 juta saman setiap satu untuk lima tahun akan datang bagi memberi pulangan modal kepada pelaburan RM700 juta mereka.

Cuba bayangkan berapa ramai rakyat yang bakal menjadi mangsa ekoran penguatkuasaan undang-undang yang dikomersialkan ini?

Dilaporkan sejumlah 831 kamera AES akan dipasang di seluruh negara dengan pengurusannya diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa lima tahun. Belum pun kontroversi berhubung motif keuntungan AES reda, isu perbezaan harga yang ketara dalam pembelian kamera perangkap laju pula timbul.

Berdasarkan harga pasaran semasa, model Laser Digicam dan Model Laser Trucam hanyalah berharga USD5,000.00 (RM15,000.00) dan dan USD6,000.00 (RM18,000.00) setiap satu. Bagaimanapun angka rasmi dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menunjukkan dua jenis kamera itu dibeli dengan harga RM173,925.00 dan RM223,500.00 setiap satu.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Dalam Negeri menjelaskan perbezaan harga itu disebabkan faktor kos latihan yang dilaksanakan pembekal, kos penyelenggaraan, termasuk juga dua tahun jaminan. Perbezaan harga juga jelasnya wujud antara Malaysia dan negara pengeluar, Amerika Syarikat.

Kontroversi terbaru ini mengundang persoalan baru. Sampai bilakah kita terpaksa membayar harga peralatan jauh lebih mahal berbanding harga pasaran atas alasan latihan, ciri-ciri tambahan, penyelenggaraan dan jaminan? Adakah episod pembelian kapal selam di laut diulangi oleh AES di darat?

 Fikir-fikirkanlah.Editorial Harakah

Tiada ulasan: