Majlis Fatwa Kebangsaan  yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam dicadang membuat satu  resolusi berhubung kenyataan seorang anggota pembangkang terhadap isu kebebasan  beragama.
  
Naib Ketua Wanita Umno Cheras Zurainah Musa berkata ketetapan  itu penting untuk mengelak isu sensitif seumpama itu dibangkitkan lagi.

"Wanita Umno bimbang dengan kewujudan kumpulan tertentu yang  menyentuh sensitiviti agama Islam sehingga boleh mengelirukan fahaman dan menjejaskan  akidah umat Islam," katanya ketika membahas usul pendidikan, agama dan sosial di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno 2012 hari ini.
  
Beliau turut menyarankan pembangkang supaya mendalami ilmu  agama sebelum membuat sebarang kenyataan mahupun pandangan mengenai perkara itu bagi  mengelak kekeliruan.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Wanita Umno Perlis Marzita Mansor pula mencadangkan agar pimpinan parti menghimpunkan guru pondok dan ulama dari seluruh negara bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai liberalisme dan pluralisme yang dibangkitkan pembangkang.

Ketika membentangkan usul pendidikan, agama dan sosial, beliau berkata ini kerana isu seperti itu boleh menggugat perpaduan ummah.
  
Beliau menegaskan fahaman yang hanya bertunjangkan kepentingan politik dan bertopengkan agama semata-mata itu menjadi satu ancaman jika dibiar berleluasa tanpa adanya penerangan dan langkah pencegahan pihak berkuasa.
  
"Seharusnya individu Islam wajib memahami bahawa fahaman dan falsafah yang semakin berkembang ini bukan sahaja intipati agenda Barat dalam siri penjajahan bentuk baru.
  
"Bahkan ia merupakan strategi untuk menghancurkan Islam menerusi rasionalisme ilmiah berdasarkan kaedah serangan pemikiran," katanya.

Katanya kedua-dua aspek itu turut membenarkan perkahwinan berlainan agama, kebebasan beragama, memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
  
Selain itu, Wanita Umno mahu kerajaan menekankan lagi silibus mata  pelajaran agama Islam pada semua peringkat pengajian kerana subjek tersebut perlu dihayati dan menjadi amalan setiap pelajar, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
  
Beliau turut mencadangkan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan  lagi dengan kemudahan dan peralatan pembelajaran terkini serta tenaga pengajar berkualiti bagi meningkatkan kemasukan murid keturunan India dan Cina.
  
Ini sekaligus dapat mengeratkan ikatan perpaduan dengan wujudnya kepelbagaian etnik, agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi masyarakat berbilang kaum, katanya.

Merujuk kepada kepentingan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan aspirasi dan dasar kerajaan kepada masyarakat, beliau mencadangkan supaya hubungan dua hala antara NGO dan kerajaan diperkukuhkan.
  
Katanya ini bagi membendung penularan fitnah oleh segelintir NGO bersifat 'anti-establishment' serta penggunaan ruang siber untuk tujuan menganjurkan demonstrasi, bekerjasama atau memperoleh dana daripada pihak asing untuk mempengaruhi minda rakyat.

"NGO seperti ini semakin lantang mencipta fitnah melalui data-data yang dimanipulasi di ruang siber, bersifat ekstrem seterusnya berupaya untuk menggagalkan dasar-dasar kerajaan sekiranya pemantauan rapi tidak dilakukan," katanya.

Dekati pengundi muda

Sementara itu, Ketua Wanita Jelebu Zuraidah Mohd Zin ketika  membahas usul ucapan dasar ketua wanita, mencadangkan pendekatan sistematik, kreatif serta penggunaan teknologi maklumat diaplikasi dengan lebih meluas untuk mendekati pengundi khususnya generasi muda.
  
Beliau berkata tidak dinafikan pergerakan itu mempunyai 'taring'  tersendiri dalam menambat hati pengundi, namun perubahan lanskap politik menuntut  keperluan anjakan paradigma dalam membantu parti mencapai kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
  
"Sebagai sayap parti, tentunya Wanita mempunyai peranan besar,  namun Wanita Umno tidak boleh berjuang dengan slogan indah sahaja, tetapi perlu membuat anjakan kepada cara kita bekerja, tambahan pula tuntutan anggota parti semakin tinggi dan besar," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Wanita Bahagian Kulai Noraini Zakaria yang  membahaskan usul ekonomi mahu kaum wanita diberi lebih banyak jawatan di peringkat tinggi dalam sektor ekonomi.

Wanita juga mempunyai kemampuan setanding dengan kaum lelaki  untuk berjaya dalam bidang perniagaan sekali gus membantu memajukan ekonomi negara, katanya.
  
Beliau berkata kejayaan wanita di sektor ekonomi perlu seiring  dengan pencapaian cemerlang mereka dalam perkhidmatan awam.
  
"Tidak dinafikan kaum lelaki banyak melakar kejayaan dalam bidang  perniagaan terutama dalam bidang pelaburan hartanah, banyak daripada mereka telah kaya raya, sedangkan wanita masih jauh ketinggalan.
  
"Saya ingin mencadangkan agar kerajaan mengambil kira perkara ini.  Kaum wanita harus diberi peluang dalam sektor ekonomi dan bukannya dipandang rendah oleh semua orang yang menganggap kaum wanita merupakan kaum yang lemah," katanya.

Wacana politik secara berjenaka

Sementara itu, seorang wakil Puteri Umno berpendapat penyampaian wacana politik secara tenang, santai, berjenaka serta dendangan lagu "Anak Kampung" oleh Jimmy Palikat adalah kaedah terbaik bagi mendekati dan memenangi hati pengundi muda.
  
Ketua Puteri Bahagian Kubang Pasu, Wan Zawiyah Wan Halim berkata tidak salah jika ada unsur jenaka dan peribahasa diselit dalam intisari politik bagi menarik minat orang muda.
  
"Senggol-senggolan, cubitan-cubitan dibolehkan dalam meraih undi wanita muda asal tidak melanggar tatasusila sebagai orang Islam," kata wakil Kedah itu ketika membahaskan usul terima kasih ucapan dasar Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung Puteri Umno hari ini.
  
Ketua Puteri Bahagian Bukit Gantang Jamilah Zakaria pula berkata penubuhan satu pusat penyelidikan strategik golongan muda akan memudahkan pucuk pimpinan parti mendekati golongan itu.
  
Selain menyelami kemahuan golongan muda, pusat itu juga akan berfungsi menyalurkan ilmu yang berguna bagi transformasi pemikiran mereka, katanya.

"Memahami kehendak dan mendekati golongan muda secara halus  dapat memperkembangkan jaringan parti. Kualiti penyaluran maklumat juga perlu ditingkatkan bagi membantu golongan muda yang sering ketinggalan dalam memahami dasar-dasar kerajaan," kata wakil negeri Perak itu.
  
Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan Maznah Yaacob dalam perbahasannya berkata anggota sayap Umno itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.
  
Maznah berkata anggota Puteri perlu mempunyai daya penarik politik yang hebat untuk memenangi hati pengundi terutama melalui daya pemikiran dan peribadi.
  
Dalam pada itu, Maznah turut mengingatkan rakyat Kelantan agar memilih kerajaan yang benar-benar dapat membawa kemajuan, berbanding PAS yang sehingga kini gagal menyelesaikan isu air di negeri itu.  
Cadang Sekolah Harapan
  
Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian Tangga Batu Saliza Dolmat pula mencadangkan supaya Sekolah Harapan yang menempatkan pelajar hamil diwujudkan di seluruh negara sebagai usaha untuk mengekang gejala sosial daripada terus berlelusa.
  
Katanya, penubuhan sekolah itu tidak harus dipandang serong, sebaliknya mesti disokong kerana ia memberi peluang kepada remaja hamil untuk meneruskan pembelajaran serta memperbaiki diri.
  
"Sekolah Harapan ini bukan sahaja dapat memberi perlindungan kepada remaja yang telah terlanjur, malah mengubati segala masalah yang dihadapi mereka," katanya.
  
Sekolah Harapan yang diwujudkan di Jasin, Melaka pada November 2011 bertujuan memberi perlindungan kepada remaja hamil sehingga habis tempoh berpantang sebelum kembali kepada keluarga masing-masing.
  
Sementara itu Ketua Puteri Umno Bahagian Kangar, Huzaini Abdul Hamid ketika membahaskan usul sama berkata dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan sekarang memberi kesan negatif kepada golongan muda sehingga ada yang menganggap mereka sebagai golongan pencetus masalah serta kekecohan dalam masyarakat.
  
Sehubungan itu, beliau berkata anggota Puteri Umno haruslah menggunakan setiap ruang dan peluang yang disedia kerajaan untuk mendekati golongan muda sekali gus membantu mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap golongan itu.

'Buruk negara sendiri'
 
Sementara itu Ketua Pemuda Umno Johor, Datuk Zulkarnain Kamisan mengecam perbuatan pembangkang yang suka memburuk-burukkan negara sendiri pada kaca mata dunia semata-mata mahu berkuasa.
   
Katanya, perbuatan meminta campurtangan asing dalam pentadbiran negara boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran negara.
   
"Tak cukup jelajah dalam negara, mereka menjelajah pula ke luar negara sebagai pengkhianat yang memburukkan negara sendiri. Janganlah kita jadi pemimpin sebegini, menang sorak hari ini, esok lusa negara tergadai," katanya

ketika membahaskan usul pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
   
Beliau yang juga Ketua Pemuda Bahagian Parit Sulong berkata sikap pembangkang yang sanggup memperlekeh amalan agama Islam dengan isu doa dan fatwa turut mengelirukan umat Islam.
   
Zulkarnain berkata semua pihak sepatutnya berpegang kepada konsep saling mengingatkan kepada kebaikan dan menerima sebarang perbezaan dalam usaha memperjuangkan Islam.

Sementara itu, wakil Selangor Latt Shahrizan Abdullah berkata golongan muda di negeri itu telah bersedia untuk menolak pakatan pembangkang yang diketuai PKR dalam pilihan raya akan datang setelah sedar kerajaan negeri Selangor tidak langsung mempedulikan mereka.
   
Ketua bahagian Umno Petaling Jaya Utara itu berkata rata-rata golongan muda di Selangor yang hampir sejuta orang dan mewakili separuh daripada pengundi, tidak boleh lagi dianggap sebagai 'milik PKR' seperti mana yang diuar-uarkan pembangkang.
   
Beliau berkata hakikatnya, pengundi muda di Selangor, malah di seluruh negara mula sedar bahawa PKR, PAS dan DAP lebih banyak bertelagah mengenai soal siapa yang lebih layak menjadi perdana menteri. - Bernama