HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2012

BN nafi hak kaum India miliki kad pengenalan

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : KEADILAN mempersoal kerajaan BN kerana melanggar Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dengan menafikan hak kaum India memiliki kad pengenalan.

Naib Presidennya, N Surendran, Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan bersama berkata, tindakan Umno yang tidak memberikan kad pengenalan biru kepada masyarakat India adalah penganiayaan ke atas generasi kaum itu.

“Masalah ini menjejaskan rakyat Malaysia. Perkara ini paling lazim di kalangan kaum India di negara ini. Majoriti mereka yang terjejas tanpa kerakyatan dilahirkan di sini dan tinggal di negara ini.

“Di kalangan kaum India, masalah ini berterusan. Seluruh keluarga dari satu generasi ke generasi hidup tak tentu arah kerana mereka hanya diberi IC merah.



“Masalah ini mencapai tahap kritikal, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan berbuat apa-apa yang berkesan untuk menamatkan nasib rakyat yang dinafi kerakyatannya,” kata mereka.

Tambah mereka, sikap lepas tangan Umno itu menyebabkan hak asas masyarakat India turut dinafi.
“Ia mengakibatkan penderitaan yang besar apabila hak keistimewaan rakyat seperti faedah pendidikan, kesihatan dan pekerjaan dilucutkan.

“Mengejutkan juga terdapat banyak kes kanak-kanak India Malaysia yang dinafikan persekolahan asas kerana penafian dokumen pengenalan oleh kerajaan BN,” kata mereka.

KEADILAN berharap perhimpunan aman ‘Duduk Bantah’ pada 12 Disember ini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya akan memberi tekanan kepada BN untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi 300,000 masyarakat India yang masih tidak memiliki kad pengenalan.

Tiada ulasan: