HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 November 2012

P’raya lebih telus jika ada pemerhati antarabangsa

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya mengundang pemerhati negara Asean untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang, terus dipersoal.

Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berkata, SPR tidak perlu bimbang jika mereka membuka peluang kepada pemerhati antarabangsa untuk memantau PRU negara ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, berkata, dengan memanggil pemerhati antarabangsa sebenarnya akan memperkayakan sistem pilihan raya negara ini yang telus di mata dunia.

"Apa yang SPR takut? Kita sepatutnya buka kepada antarabangsa dan buka kebenaran kepada sesiapa sahaja.

"Kalau kita, kononya guna media yang bebas, sistem yang adil, lantai yang sama rata, kenapa perlu takut?" katanya dalam sidang media.

Beliau tidak menolak usaha SPR memanggil pemerhati Asean bagaimanapun usaha ini boleh diperluaskan ke negara antarabangsa.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan adalah tidak wajar menjemput kerajaan asing datang campur tangan dalam urusan menentukan proses pemilihan kerajaan di negara ini.

Beliau berkata demikian setelah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta SPR mengundang kerajaan Australia sebagai pemantau bebas bagi memastikan pilihan raya nanti bebas dan adil.

"Motif Ketua Pembangkang ialah untuk menanamkan satu perasaan simpati, yang mereka (parti pembangkang) adalah 'underdog' di kalangan para penyokong, rakyat am khususnya pengundi atas pagar dan pihak luar. Ini adalah rangka dan agenda perancangan yang rapi.

"Motif kedua Anwar ialah untuk mendapat tarikan dan simpati dunia dan pihak antarabangsa supaya tekanan demi tekanan akan datang untuk Malaysia," dakwanya.

Tiada ulasan: