HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2012

Pemilihan Kontraktor Sampah dan Sisa Pepejal Tidak Dipengaruhi Lantikan Politik




SHAH ALAM : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemilihan kontraktor kutipan sampah tanpa dipengaruhi Ahli Majlis, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Ronnie menegaskan, semua Ahli Majlis yang dilantik PBT hanya bertindak sebagai pemerhati bagi memastikan mesyuarat sebut harga dan tender berjalan lancar dan telus.

“Kerajaan Negeri melalui PBT melakukan pemilihan kontraktor berdasarkan dari mesyuarat ini yang dianggotai oleh ahli majlis sebagai pemerhati,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Lembah jaya Khasim Abdul Aziz yang mempersoalkan mengapa Ahli Majlis tidak terlibat dalam dasar tender terbuka yang diamalkan Kerajaan Negeri berhubung sisa pepejal.

Sebelum ini, kata Ronnie, Kerajaan Negeri pernah melantik Ahli Majlis untuk menganggotai jawatankuasa tender dan sebut harga bagi pemilihan kontraktor secara terbuka, bagaimanapun ia dihentikan sebagai mematuhi arahan Pegawai Kewangan Negeri.

“Arahan itu menetapkan supaya anggota-anggota yang dilantik untuk jawatankuasa ini hanya boleh terdiri daripada penjawat awam dan pegawai kerajaan. Lantikan politik tidak dibenarkan dalam pemberian tender.

“Kerana itu, di peringkat negeri, Exco yang dilantik oleh Menteri Besar hanya berfungsi sebagai pemerhati dalam jawatankuasa negeri untuk sebut harga dan tender,” katanya.

Tiada ulasan: