MALAYSIA KINI
HULU LANGAT - Penghuni Rumah Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah
Malaysia (Perkid) di sini panik selepas tembok asrama itu retak dan
membawa bersama banjir lumpur ketika hujan lebat, pada 3.30 petang
semalam.
Presiden Perkid Masridzi Sat berkata, kejadian di bahagian belakang
asrama wanita itu telah dimaklumkan oleh isterinya yang ketika itu
bersama empat orang penghuni berada di bahagian dapur, tiba-tiba
terdengar bunyi runtuhan yang kuat.
"Selepas keluar untuk melihat keadaan, mereka dapati tembok asrama ini
retak dan condong diikuti dengan banjir lumpur sehingga paras buku lali
di bahagian dapur dan rumah kakitangan," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, keretakan itu dipercayai berpunca daripada bebanan sisa
kerja membaik pulih longkang yang ditimbunkan di bahagian tembok asrama
itu.
"Kontraktor buat kerja-kerja binaan, tetapi sisa bahan yang digunakan
diletakkan di tepi tembok asrama ini. Dalam keadaan hujan lebat petang
tadi (semalam), mungkin bebanan yang kuat menyebabkan keretakan ini,"
katanya.
Beliau berkata, ini adalah kejadian kedua di asrama berkenaan dan kali ini dianggap serius kerana menyebabkan keretakan tembok.
"Kejadian pertama, berlaku pada Mac lepas tetapi ketika itu hanya
banjir lumpur. Saya anggap kejadian kali ini serius kerana berlaku
keretakan yang mungkin boleh menyebabkan kemalangan jiwa," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat
Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian itu melibatkan keretakan tanah
di bahagian belakang asrama itu tidak melibatkan struktur bangunan.
Punca kejadian masih disiasat, katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan