KUALA LUMPUR— Ekoran beberapa dakwaan yang dibuat Pengarah
Strategik PKR, Rafizi Ramli, tentang hubungan Datuk Seri Mohamed Nazri
Aziz dan peniaga balak Sabah, Michael Chia, Timbalan Perdana Menteri
hari ini menggesa pemimpin PKR itu untuk membuat laporan kepada pihak
berkuasa daripada menuduh perkara yang bukan-bukan tanpa asas yang
kukuh.
“Pihak pembangkang akan kemuka macam-macam ... kalau dia (Rafizi) fikir tidak berapa tepat, kemuka kepada polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) boleh siasat, kita jangan jatuhkan hukuman kerana satu pihak menuduh,” tegas Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.
“Jangan mudah buat ‘judgement’, ia mesti dilihat dari prinsip kebertanggungjawaban dan undang-undang.”
Laporan The Malaysian Insider semalam menyebut Rafizi mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu untuk bersikap “gentleman” dan mengikut jejak langkah bekas rakan Kabinetnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dengan mengambil cuti berikutan hubungannya Michael Chia.
Chia baru-baru ini dibersihkan namanya dari tuduhan rasuah melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman selepas badan pencegahan rasuah Hong Kong mendapati beliau cuba untuk menyeludup wang ke Malaysia, dikatakan sebagai “dana politik” untuk Umno Sabah dan bukan wang peribadi Musa.
Rafizi memberitahu Nazri, yang baru-baru ini menggelarkan dirinya sendiri sebagai “menteri undang-undang nombor satu”, mungkin akan didapati bersalah kerana beliau adalah menteri yang memberitahu Parlimen bahawa Musa telah dibebaskan dari tuduhan rasuah.
Menjelaskan perkara tersebut, Muhyiddin menegaskan negara ini mempunyai sistem perundangan dan tindakan Rafizi mengemukakan tuduhan terlalu awal adalah tidak tepat.
“Kita ada sistem, ada undang-undang, tapi kita jangan buat dakwaan awal,” tegas Muhyiddin kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Khas Guru Malaysia anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di sini.
Rafizi dalam sidang media sebelum ini menolak kenyataan Nazri bahawa tidak ada perselisihan kepentingan apabila anaknya menggunakan Hummer milik Chia, dengan mengatakan Nazri mempunyai pengaruh yang kuat dalam Parlimen.
Nazri bagaimanapun tidak menafikan atau mengatakan bahawa anaknya menggunakan Hummer milik Chia, sebaliknya beliau berkata tidak ada salahnya jika ianya betul.
Menteri itu juga berkata tidak perselisihan kepentingan dalam hal ini, dan mengatakan beliau tidak menyiasat atau membersihkan nama Chia dalam kes rasuah itu.
Menurut Rafizi lagi, satu laporan akan dibuat kepada SPRM terhadap Nazri dan keluarganya pada Isnin ini, dengan tuduhan Chia memberi anak menteri tersebut kenderaan mewah bagi membebaskan dirinya dari tuduhan rasuah.
Dalam sidang media sebelum ini, Rafizi telah memaparkan tujuh video pengintipan sebagai bukti tambahan dengan video yang menunjukkan keluarga Nedim menggunakan kenderaan mewah Chia.
Video itu menunjukkan perjalanan Hummer tersebut dari kediaman kondominium mewah di Damansara Heights itu, di mana Nedim dan keluarganya dikatakan tinggal di rumah tersebut.
Rafizi juga menunjukkan dalam video tersebut kereta Audi hijau, yang didakwa dipandu oleh Nedim, dan Toyota Vellfire hitam yang dipandu oleh isterinya.
Menurut Rafizi, kenderaan Hummer tersebut selalunya digunakan oleh pemandu peribadi keluarga dan pengawal peribadi mereka dan digunakan untuk kenderaan “menyimpan barang”.
Bagaimanapun, tidak ada satu video memaparkan Nedim atau ahli keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan