HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 November 2012

'Benteng manusia' halang bahan ke kilang Lynas

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan kumpulan pejalan kaki Stop Lynas tiba di Dataran Merdeka, semalam, mereka akan meneruskan perjuangan mereka di Kuantan, Pahang.

Biarpun masih belum ada tarikh khusus diputuskan, mereka sedang merangka untuk mengadakan program 'benteng manusia' atau 'barricade' bagi menghalang kemasukan bahan-bahan mentah ke kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Ketua Publisiti Himpunan Hijau, Lee Chean Chung, berkata biarpun rakyat tidak mampu menutup kilang Lynas dari beroperasi, kerajaan yang enggan mendengar suara rakyat perlu ditunjukkan kebangkitan rakyat.

"Kita sedar, kilang itu tidak akan ditutup kerana kerajaan yang ada tidak mendengar suara rakyat.  Jadi, kita akan menyekat kemasukan bahan mentah ke kilang terbabit dengan program 'barricade' kebangkitan rakyat ," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, selain program tersebut, pihaknya juga akan memulakan 'roadshow' perkongsian tentang kesan pembinaan dan penggunaan bahan-bahan berbahaya kepada alam sekitar.

Jelajah perkongsian itu, kata Lee akan dijalankan dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris kepada seluruh rakyat Malaysia.

Biarpun beranggapan rakyat sudah semakin sedar dengan isu alam sekitar ini, Lee masih mengharapkan lebih ramai lagi rakyat yang akan menyokong usaha ke arah persekitaran yang sihat dan harmoni.

Semalam, Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang.

Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka dan duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack.

Wong Tack juga mengetuai kumpulan pejalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur dalam usaha memberi tekanan kepada kerajaan untuk menutup kilang Lynas, di Kuantan.

Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.

Tiada ulasan: