SINAR HARIAN
KUANTAN - Seramai 78 individu mendakwa kerugian hampir setengah juta
akibat tertipu dengan tawaran hadiah menerusi peraduan gores dan menang.
Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Pahang Abdul Aljailani Mohd Sharrill berkata bagi tempoh
Januari hingga semalam, mangsa mendakwa dipaksa membayar sejumlah wang
sebelum diberikan hadiah yang dimenangi.
"Sebanyak 78 individu membuat laporan kepada pihak kami bagi tempoh
berkenaan selepas mendakwa mereka terpedaya selepas peraduan gores kupon
itu.
"Bagi membanteras kegiatan itu, hari ini kami melakukan satu operasi
bersama pihak polis dan Majlis Perbandaran di sekitar bandar Kuantan.
"Kami telah menyerbu sebuah premis di Kuantan yang menyimpan pelbagai
barangan elektrik, dipercayai digunakan untuk mengumpan individu bagi
aktiviti gores dan menang berkenaan," katanya kepada pemberita hari ini.
Abdul Aljailani berkata seramai lima suspek berusia 20 hingga 30 tahun ditahan di premis itu.
"Kami turut merampas 50 kupon gores dan menang serta pelbagai barangan
elektrik," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 20B
Akta Perihal Dagangan 2011. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan