PETALING JAYA : S Logeswaran, pelajar India di sebuah sekolah kebangsaan di Perak dihalang meneruskan persekolahannya hanya kerana tidak memiliki sijil kelahiran, walaupun ibu bapanya warganegara Malaysia.
Ia didedahkan Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya pada sidang medianya di ibu pejabat parti hari ini.
Menurutnya, sepanjang proses pembelajaran di sekolah itu, Logeswaran ditempatkan di tepi penjuru kelas dengan alasan bapa kanak-kanak ini tiada kad pengenalan.
Malah pihak sekolah juga enggan memberinya lencana.
Beliau dikehendaki menyelesaikan masalah itu sebelum kembali meneruskan persekolahannya.
Tahun depan beliau sepatutnya bersekolah darjah empat.
“Lebih malang, Dunish Kumar, adik kepada pelajar ini turut dinafi untuk ke sekolah, walaupun adiknya yang dilahirkan pada 2005 memiliki MyKid.
“Punca utama masalah ini ialah keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi kad pengenalan kepada R Sarathrajan, ayah kepada pelajar ini,” jelas Latheefa.
Turut serta, Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; aktivis masyarakat India, S Jayathas serta ibu bapa pelajar tersebut – M Tamilselvi dan Sarathrajan.
Menurut Sarathrajan, beliau pernah memohon lebih 10 kali kepada JPN untuk memiliki kad pengenalan, namun tidak berjaya dan jabatan itu memberi pelbagai alasan.
“Hingga kini hak saya dinafi sedangkan sangat jelas saya merupakan warganegara Malaysia yang sah sebagaimana tertera dalam sijil kelahiran dengan nombor daftar F685911,” katanya yang turut menunjukkan dokumen itu serta mengedar salinannya.
Berdasarkan sijil kelahiran, Sarathrajan dilahirkan pada 4 Disember 1982 jam 7.40 pagi di Hospital Daerah Kuala Lipis, Pahang, berketurunan India, dan taraf kewarganegaraan adalah warganegara.
Dinyatakan sekali nombor kad pengenalan beliau dalam sijil itu, 821201-06-5825, manakala isterinya memiliki Kad Pengenalan Biru bernombor 791114-08-5852.
“Apa yang paling saya kesalkan, JPN beritahu boleh memberi sijil lahir kepada Logeswaran tetapi dengan syarat, tanpa nama saya.
“Ini sangat pelik sedangkan seorang lagi anak saya, Dunish Kumar ada nama saya,” katanya menyifatkan tindakan JPN itu satu penghinaan kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan