HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 November 2012

Kaji semula larangan sidang media kepada bukan MP

Salmiyah Harun,


KUALA LUMPUR: NGO Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dan dukacita atas peraturan baru parlimen yang melarang selain ahli parlimen menggunakan sudut sidang media di lobi bangunan itu.

Menurut Presiden Pendidik Normala Sudirman beliau telah dihalang oleh kakitangan parlimen untuk membuat kenyataan sedangkan pihaknya dijemput oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

"Seharusnya tidak boleh berlaku sebegini kerana kami (Pendidik) mewakili hampir 500,000 guru di seluruh Malaysia.

"Kami datang ini membawa perkara penting yang menjadi agenda pendidikan negara," katanya ketika ditemui di lobi parlimen lama.

Katanya, Pendidik dijemput ke sidang media bersama ahli parlimen untuk memberikan maklum balas memandangkan semalam dewan telah membahaskan isu dibawah Kementerian Pelajaran.

"Kita dijemput untuk memberi komen, sedar-sedar hari ini ada peraturan baru. Kita dihalang  tidak boleh buat sidang media kecuali MP," katanya.

Peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) turut dihalang untuk memberi kenyataan dalam sidang medianya walaupun diminta oleh Pengerusi Kase yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar memberi kenyataan.

Peraturan baru itu, tegas Normala ianya perlu dipertimbangkan semula oleh Parlimen kerana rata-rata yang datang membawa perasaan, hasrat dan tuntutan sebagai rakyat Malaysia mengikut saluran demokrasi yang diamalkan.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen kecuali Ahli Parlimen.

Larangan lisan itu berkuat kuasa serta merta kerana tidak mahu sudut bertulisan 'Parlimen Malaysia Sidang Media' disalahguna oleh mereka yang bukan ahli parlimen.

Beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa sidang media yang diadakan di situ antaranya pendedahan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berhubung dakwaan anak lelaki Datuk Seri Nazri Aziz ada hubungkait dengan jutawan balak Michael Chia.

Pandikar turut menunjukkan gambar sidang media tersebut yang sepatutnya tidak diadakan di situ.

Bagaimanapun menurut Pandikar orang luar yang ditemani ahli Parlimen dibenarkan mengadakan sidang media dengan syarat tidak diadakan di sudut itu.

"Kalau nak buat sidang akhbar boleh tapi berdirilah di penjuru yang tidak nampak perkara itu," katanya.

Tiada ulasan: