SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Pakar motivasi terkenal Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah
menyarankan kerajaan menubuhkan sebuah yayasan untuk menghimpunkan
golongan pendakwah Islam supaya mereka dapat berkongsi ilmu dan idea
dalam menyebarkan syiar Islam di negara ini.
Beliau berkata ini adalah perlu dalam menangkis pelbagai fitnah dan
andaian yang tidak berasas mengenai agama Islam yang semakin berleluasa
di negara ini, yang telah menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.
"Kerajaan boleh menubuhkan yayasan bagi golongan pendakwah dan
penceramah, agar memberi input kepada kami menyelaraskan satu fikiran,
satu pendekatan untuk rakyat tidak keliru," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah
mengenai 'Masa Depan Agama dan Pembangunan Keluarga" pada Himpunan
Barisan 1Malaysia di sini hari ini.
Dalam menyampaikan mesej mengenai Islam supaya dapat diterima dengan
mudah oleh rakyat untuk menjadikan agama Islam sebagai teras pembangunan
negara, beliau berkata, para pemimpin negara perlu menggunakan
pendekatan terkini yang lebih santai.
"Pemimpin perlu fikir apa yang rakyat hendak dengar pada masa kini.
Contohnya ustaz-ustaz yang popular masa kini menggunakan pendekatan yang
santai yang dapat diterima oleh masyarakat," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan