Kaunter khidmat peguam akan dibuka mulai 21
November ini dari jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang di Jalan Raja
Laut, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) akan membuka kaunter di Ibu Pejabat PAS bagi menawarkan khidmat nasihat peguam secara percuma kepada penerima saman AES.
Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar berkata kaunter itu akan dibuka mulai 21 November ini dari jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang di Jalan Raja Laut di sini yang akan dikendalikan peguam daripada Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS.
“Orang ramai boleh menyerahkan surat saman AES dan dapat khidmat nasihat peguam.
“Jika OKS bersetuju untuk ke mahkamah, kami akan menyediakan khidmat peguam percuma untuk mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, selepas tarikh tersebut pihaknya akan terus membuka kaunter dua minggu sekali pada Sabtu bermula 11.00 pagi hingga 1.00 tengahari.
“Untuk memudahkan anggota masyarakat menghubungi KASE bolehlah menggunakan talian 0133493848 atau melalui laman sosial Facebook kami,” katanya.
Beliau berkata setakat ini seramai 50 pemandu sekitar Kuala Lumpur tampil menggunakan bantuan KASE dan turut menasihatkan yang lain supaya tidak membayar saman AES sebaliknya berjumpa dengan peguam PAS.
Katanya, kes pertama pemandu jalan raya menentang saman AES akan didengar di Mahkamah Jalan Duta pada 7 Disember depan dan akan diwakili peguam Juham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan