Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata demikian dalam Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan enggan mengenakan sebarang tindakan undang-undang terhadap PAS yang mendoakan kehancuran Umno-Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya memberi peluang kepada parti itu untuk bermuhasabah dan bertaubat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dalam Dewan Rakyat hari ini.
“Inilah dakwah kerajaan…agama bukan sekadar perundangan tapi pendekatan membimbing ke arah akhlak yang baik supaya mereka sedar dan kembali kepada jalan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mempersoalkan kerajaan yang masih berdiam diri terhadap PAS kerana bimbang tindakan tersebut cenderung kepada kesesatan.
“Saya hairan kerana dalam al-Quran menyebut ‘jangan berpecah-belah’ tapi yang langgar tu siapa?
“Siapa yang membawa perpecahan sampai mengatakan orang Melayu-Umno Islamnya sesat dan songsang?
“Dakwa apa yang dibawa ni? Nampak jelas dan nyata…apa ni, kerajaan takut ke,” soal Tajuddin.
Doa itu dibacakan anggota Dewan Ulama PAS Kelantan Nik Razi Nik Mat ketika memimpin solat hajat yang disertai kira-kira 30,000 penyokong parti di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan sempena Muktamar PAS ke-58 pada 16 November lalu.
Nik Razi yang juga adik kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dalam doanya menyebut ‘Kuburkanlah Umno-BN’ dan ‘KO BN’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan