HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 November 2012

Kroni Umno kuasai tender AES

Adun Teja Chang Lih Kang mencabar Menteri Pengangkutan menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera AES. 


KUALA LUMPUR: Tender pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dikuasai kroni Umno, dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja Chang Lih Kang.

Chang mendakwa, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno Johor.

Rozana, menurut Chang merupakan anak sulung Tan Sri Redzuan Salim dan Puan Sri Atkah Abdullah, dua tokoh pemimpin Umno yang disegani di Johor.

“Tan Sri Redzuan merupakan bekas ADUN Peserai dan Ketua Umno Bahagian Parit Sulong manakala Puan Sri Atkah pernah menjadi ADUN Sri Medan selama dua penggal, Timbalan Ketua Wanita Bahagian Umno Johor, dan Exco Wanita Pusat.

“Selain itu, Rozana juga merupakan sepupu kepada ADUN Machap Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, Chang mencabar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera AES kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Beta Tegap merupakan salah sebuah daripada dua syarikat swasta utama yang mendapat kelayakan tender pemasangan kamera AES daripada Kementerian Pengangkutan selain ATES Sdn Bhd.

Sebelum ini Ahli Parlimen Selayang William Leong mendakwa pemegang saham kedua terbesar dalam Beta Tegap, Dr Andreas Teoh mempunyai kaitan dengan MCA apabila beliau turut memiliki kontrak dengan Kementerian Kesihatan pada 2005 melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

Namun dakwaan itu disanggah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga pada ketika itu memegang portfolio Menteri Kesihatan.

Sementara itu, dalam sidang media berlainan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan kempen penerangan AES yang akan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dalam masa terdekat, sedangkan pelaksanaannya sudah dilakukan sejak bulan lalu.

“Bagaimana dia (JPJ) boleh keluarkan saman sedangkan kempen di media baru nak berjalan? Ini menunjukkan kerajaan memasang AES tanpa mendapat maklum balas orang awam,” katanya.

Tiada ulasan: