KUALA LUMPUR:
Berdasarkan analisis Pusat Penyelidikan PAS (PPP) terhadap
kajian-kajian yang dibuat oleh beberapa pihak termasuk oleh kumpulan
penyelidikan di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) seperti yang
diumumkan oleh Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin baru-baru ini, peluang
untuk Pakatan Ralyat menawan Johor adalah seimbang.
Meskipun
negeri Johor sebelum ini dianggap sebagai “fix deposit” Barisan
Nasional (BN) dan kubu kuat UMNO, penemuan-penemuan hasil daripada
kajian-kajian tersebut menunjukkan perubahan yang memberansangkan, kata
Dr Zuhdi Masduki, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP).
Beliau
berkata demikian dalam satu kenyataannya hari ini. Beliau mengulas
kenyataan MPN yang mendakwa BN akan mendapat 120 kerusi Parlimen dalam
pilihan raya akan datang.
PPP, kata
Dr Zuhdi, menyimpulkan peluang untuk PR menawan Johor adalah cerah
sekiranya usaha berterusan dilakukan untuk menarik pengundi-pengundi
Melayu di samping mengekalkan momentum perubahan pengundi-pengundi Cina
di negeri tersebut.
13 kerusi tidak selamat
Berdasarkan
analisis PPP, sokongan akar umbi BN di 13 kerusi Parlimen di Johor
adalah berada di bawah 50% iaitu Segamat, Labis, Ledang, Bakri, Muar,
Batu Pahat, Keluang, Gelang Patah, Teberau, Pasir Gudang, Johor Baharu,
Pulai dan Kulai.
Kemenangan
sesuatu parti di kawasan-kawasan berkenaan akan bergantung kepada
pengundi-pengundi atas pagar termasuklah mereka yang hanya di saat
akhir membuat keputusan.
Daripada
kawasan-kawasan tersebut, lapan kawasan pula memperlihatkan sokongan
akar umbi BN berada di bawah 44 % yang biasanya di ketegorikan sebagai
kawasan kelabu hitam bagi BN.
“Kebanyakan
kawasan-kawasan tersebut adalah kawasan campuran, iaitu perbezaan
antara komposisi pengundi Melayu dan Bukan Melayu tidak besar,” kata Dr
Zuhdi.
Sepertimana
yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berdasarkan
tinjauan yang dibuat oleh sebuah kumpulan kajian politik dari sebuah
universiti awam, sokongan pengundi-pengundi Melayu di Johor kepada
Pakatan meningkat antara 3 % – 5 %, katanya.
“Berdasarkan
analisis PPP pula, sokongan pengundi Melayu di Johor meningkat 2 % – 3
% kepada Pakatan, yang kebanyakannya datang daripada pengundi-pengundi
muda dan golongan kelas pertengahan,” beritahu Dr Zuhdi.
Peningkatan
sokongan pengundi Melayu ini ditambah pula dengan perubahan besar
sokongan pengundi Cina, akan menjana peralihan (swing) undi yang amat
signifikan, sehingga dijangkakan tidak kurang 7 lagi kerusi parlimen
boleh jatuh kepada PR di samping kerusi PR yang sedia ada.
“Penemuan
ini hampir selari dengan penemuan kajian MPN yang menyatakan 9 kerusi
parlimen di Johor dalam kategori hitam bagi BN,” katanya.
Pola sokongan pengundi-pengundi di Parlimen ini, katanya, turut mempengaruhi pola sokongan di peringkat DUN.
Hanya 26 DUN putih BN
Berdasarkan
analisis PPP, dari segi kawasan DUN di negeri Johor pula, hanya 26
kerusi DUN di negeri Johor yang dikategorikan sebagai kawasan putih
bagi BN, manakala selebihnya kelabu dan hitam.
Kerusi-kerusi
DUN yang dikategorikan sebagai putih bagi BN di Johor ialah Buluh
Kasap, Kemelah, Bukit Serampang, Jorak, Serom, Bukit Naning, Sungai
Balang, Semerah, Sri Medan, Semarang, Parit Yaani, Parit Raja,
Penggaram, Senggarang, Mahkota, Kahang, Panti, Pasir Raja, Sedili, Johor
Lama, Penawar, Tanjung Surat, Tiram, Benut, Pulai Sebatang dan Kukup.
“Bagaimanapun
kedudukan ini, tidak mengambilkira isu-isu terkini seperti kes RAPID
di kawasan Parlimen Pengerang yang melibatkan DUN Penawar dan Tanjung
Surat, serta cadangan menamakan calon Menteri Besar Melayu oleh PR,”
tambah beliau.
Tindakan
menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar Johor oleh PR memberi
impak besar kepada peralihan sokongan pengundi terutama golongan muda
dan kelas pertengahan, beritahu beliau.
“Sebenarnya
perlantikan Menteri Besar Johor di kalangan kaum Melayu bukanlah isu
kerana sememangnya Undang-undang Tubuh Negeri Johor perkara 31 dan
perkara 34 telah menetapkan sedemikian.
Bagaimanapun, ramai pengundi
Melayu yang tidak menyedari perkara ini, menyebabkan mereka bimbang
kalau PR menawan Johor,” jelasnya.
Katanya, tindakan menamakan calon Melayu sebagai Menteri Besar oleh PR sememangnya memberikan kesan positif.
Salahudin 74 %
Menurut
kajian MPN terhadap “Tingkah Laku Pengundi” dalam memilih pemimpin
negeri Johor, Salahuddin Ayub memperolhi kedudukan yang tertinggi iaitu
74 % diikuti Mazlan Aliman 71 %. Pemimpin-pemimpin UMNO tertinggal di
belakang termasuk Menteri Besar Johor sekarang.
Berdasarkan
penemuan-penemuan di atas, hasil analisis PPP terhadap kajian-kajian
yang dilakukan oleh beberapa pihak, peluang PR untuk menawan Johor
adalah seimbang.
Kedudukan
PR, katanya, semakin cerah dengan bangkitnya isu RAPID di Pengerang dan
peningkatan pengundi Melayu disebabkan keyakinan terhadap kepimpinan
Melayu Johor dari kalangan PR.
Selain
daripada itu, beberapa isu yang besar seperti isu FELDA, Projek Wilayah
Iskandar dan kepememimpinan bersih adalah berpihak kepada PR.
Oleh sebab
itu, perluang PR untuk menawan Johor disebabkan
perkembangan-perkembangan mutakhir ini adalah semakin cerah, tegas
beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan