Status Islam dan Melayu diletakkan dalam kedudukan berbeza berbanding agama dan bangsa lain dalam Perlembagaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa tidak ada paksaan mengamalkan agama tertentu dan ini terpakai kepada orang Melayu secara tidak langsung mencadangkan penghapusan bangsa tersebut.
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata tanpa beliau (Nurul Izzah) sedar pandangan itu memberi hak kebebasan untuk Melayu memilih agama selain Islam.
Sedangkan ujarnya, status Islam dan Melayu diletakkan dalam kedudukan berbeza berbanding agama dan bangsa lain dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Persekutuan tidak boleh dikatakan sekular dalam konteks itu. Malah artikel 3 Perlembagaan Persekutuan jelas bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
“Bila Nurul Izzah mengutarakan pandangan orang Melayu diberi hak kebebasan memilih agama selain Islam, secara tidak langsung beliau mencadangkan penghapusan bangsa Melayu. Sama ada beliau sedar atau tidak saya tidak pasti,” katanya.
Beliau ditemui dalam Forum Islam bertajuk “Kebebasan bertukar agama, dari sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan” anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi.
Ahli panel terdiri daripada Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina, Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI) Dr Yusri Mohammad dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan Azhari.
Manakala Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah bertindak sebagai moderator.Hasan Ali pula menyifatkan kenyataan Nurul Izzah itu selari dengan hasrat beliau, bapanya (Datuk Seri Anwar Ibrahim), PKR dan Pakatan Rakyat.
Beliau yang menonton video ucapan itu untuk kali kelima berpendapat tiada cara untuk Nurul Izzah menafikan kenyataannya.
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu turut menuding jari ke arah pucuk pimpinan PAS yang didakwa terus membisu berhubung isu berkenaan.
“Tiada cara untuk tarik semula kenyataan kerana itu adalah hasrat dia (Nurul Izzah), ayahandanya, parti dan Pakatan. Saya mahu tanya Anwar dan Nurul, redhakah mereka jika anak cucu mereka tukar agama?
“Malah PAS sudah tidak menyebut jihad…..pemimpin PAS pun. Pemimpin PAS kini sebut demokrasi, LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) seolah-olah di pertahankan. Tapi bila Nurul Izzah kata, mereka diam membisu,” ujarnya.
Ismail Mina, yang bersama Anwar mengasaskan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan, “tiada kebebasan beragama di dalam kamus Islam. Jika pendirian sedemikian wujud ia memberi kesan ke arah murtad.
“Kumpulan ini jangan diberi peluang ke Putrajaya. Mereka hanya jual agama dan pemikiran ini di bawa aktivis politik yang jadi kontroversi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan