HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 November 2012

PKR temu ICAC, dakwa bukti dana politik RM40 juta 'jelas'

RUZY ADILA IDRIS

Rafizi dakwa syarikat tidak pengalaman urus projek tambahan
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
PETALING JAYA - PKR yakin kes kontroversi yang melibatkan dana sejumlah RM40 juta yang didakwa sebagai "derma politik" kepada Umno Sabah dapat dibuka semula selepas mengemukakan beberapa bukti kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), dua minggu lagi.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, pihaknya mempunyai bukti transaksi di Hong Kong, yang menunjukkan wujudnya pertalian antara pemberian konsesi balak di Sabah melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman termasuk pelbagai akaun bank dan pemindahan wang keluar masuk ke Hong Kong yang turut melibatkan ahli perniagaan, Micheal Chia.

"Kami akan kembali ke Hong Kong dalam tempoh dua minggu lagi untuk kemukakan bukti yang berlakunya transaksi di negara itu kepada ICAC," dakwanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan dalam sumbangan yang diterima oleh Umno Sabah.

Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Sementara itu, merujuk kepada jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri  Aziz kepada Tian Chua dari PKR di Parlimen, Nazri berkata, dana itu merupakan sumbangan kepada Umno Sabah.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) memutuskan elemen rasuah tidak dapat dibuktikan dalam kes ini.

Bagaimanapun SPRM harus menyiasat sekiranya rasuah menjadi faktor dalam sumbangan politik RM40 juta itu, katanya.

Rafizi bersama tiga yang lain iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang pulang dari Hong Kong hari ini bertemu tiga ahli Majlis Perundangan negara terbabit.

Menurut Rafizi, misi delegasi ke Hong Kong kelmarin berjaya mengesahkan tiga perkara iaitu tidak ada bukti bahawa ICAC menghentikan siasatan rasuah melibatkan Musa dan Micheal kerana mereka berpuas hati tiada unsur-unsur rasuah seperti yang didakwa Nazri sebelum ini.

Selain itu katanya lagi, pimpinan Majlis Perundangan Hong Kong, media dan badan bukan kerajaan (NGO) memandang berat tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) yang cuba mengheret nama baik ICAC untuk membersihkan tuduhan rasuah terhadap Musa.

Sehubungan itu, ICAC dan pihak berkuasa Hong Kong mengalu-alukan bukti baru bagi membuka semula siasatan terhadap kes tersebut.

Dakwa Rafizi lagi, hasil pertemuan delegasinya dengan Pimpinan Majlis Perundangan Hong Kong iaitu Naib Pengerusi Panel Keselamatan, James To, ahli-ahli Panel Keselamatan, Leung Kwok-Hung serta Raymond Wong telah berjaya mengaturkan pertemuan khas dengan ICAC.

"Melalui To, kami dapat membentangkan asas bahawa wang RM40 juta bukanlah sumbangan politik seperti yang dimaklumkan pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC.

"Hasil perbincangan dengan ICAC semalam berhasil dengan persetujuan supaya PKR menghantar bukti-bukti pemindahan wang dan urusniaga yang berlaku di Hong Kong untuk membolehkan satu siasatan baru diteruskan," dakwanya lagi.

Dalam pada itu, Lih Kang juga mendakwa, tiga ahli Majlis Perundangan Hong Kong akan memantau perjalanan sisatan itu nanti memandangkan mereka yang bertanggungjawab memantau prestasi dan kebebasan semua badan-badan penguat kuasa Hong Kong termasuk ICAC.

Tiada ulasan: